Keluarga mangsa dibelasah lebih 30 orang desak polis percepat siasatan
Mangsa didakwa dipukul oleh sekumpulan 40 orang dengan kayu dan mati akibat cedera parah di kepala.
Rombongan mereka hadir dari Kuala Sepetang, Perak dan diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu dari PKR, Chua Yee Ling serta Naib Presiden PKR Tian Chua, bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Laporan sebelum ini menyebut mangsa bertengkar dengan pemandu teksi yang dinaikinya ketika perjalanan dari Sitiawan ke Kuala Sepetang 5 September lalu, selepas mendapati dompet dan telefonnya hilang.
Salah seorang ahli keluarganya mendakwa pemandu teksi kemudian meninggalkan mangsa di sebuah stesen minyak di Manjung, sebelum didatangi kira-kira 40 orang yang memukulnya dengan kayu.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Manjung sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, tetapi meninggal dunia pada 16 September akibat cedera parah di kepala.
Bercakap kepada wartawan hari ini, Yee Ling berkata keluarga hanya mahu polis memaklumkan perkembangan terkini dan mempercepatkan siasatan.
“Sejak awal lagi mereka meminta polis memberikan perkembangan siasatan sebaik laporan dibuat, tetapi malangnya polis tidak memberikannya.
“Keluarga juga minta untuk melihat rakaman CCTV (kamera litar tertutup) di stesen minyak, tetapi tidak dibenarkan kerana masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau turut berharap polis mengadakan pertemuan khas bersamanya dan keluarga untuk memaklumkan hasil siasatan setakat ini.
Katanya, siasatan secara telus dan menyeluruh diperlukan kerana pemandu teksi terlibat turut membuat laporan polis dan mendakwa mangsa dalam keadaan mabuk ketika dalam perjalanan, sebaik meninggalkan mangsa di tempat kejadian.
Menurut Yee Ling, IPD Manjong hanya memaklumkan siasatan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh, dan 4 orang ditahan untuk membantu siasatan.
Kakak mangsa, Lim Sok Imm, 34, berkata kematian Chin Aik merupakan kehilangan besar buat keluarga, apatah lagi beliau adalah punca pendapatan keluarga.
“Dia ada 5 anak, dengan paling tua berusia 6 tahun dan paling muda 6 bulan,” katanya yang diterjemahkan Yee Ling kerana hanya boleh berbahasa Cina.
Mangsa turut meninggalkan seorang balu warga Vietnam, Pham Yinxie, 31.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Arshad Mat yang menerima memorandum itu berkata, Khalid akan memberikan jawapan dalam masa terdekat.