Pengawal keselamatan biar penonton dekati litar go-kart
Siti Suhaiza berkata, kejadian berlaku ketika mereka hendak beredar dan suaminya sempat berkata ‘ini tidak begitu selamat’ sebelum dirempuh.
Kata Siti Suhaiza Seman, 38, yang kehilangan suami Izwan Isa, 39, dan anak bongsunya, Nur Zulaikha, 5, yang maut akibat dirempuh go-kart semasa menonton Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARace) 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota, semalam.
Kemalangan pada jam 11.30 pagi itu turut menyebabkan anak sulung mereka Muhammad Izz Danial, 7, cedera. Namun, kini beliau stabil dan masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di bawah jagaan saudara terdekat.
Siti Suhaiza berkata, keputusan menonton perlumbaan itu dibuat secara spontan, selepas mendengar bunyi deruman enjin kuat dari rumah mereka di Astana Permai, menyebabkan beliau mahu membawa anaknya melihat dari dekat perlumbaan go-kart.
“Sebaik sahaja suami pulang dari kerja syif, saya mengajaknya untuk singgah sebentar bagi anak-anak lihat sebelum ke pasar untuk membeli barang dapur dan apabila sampai, langsung tiada sekatan. Kami masuk seperti biasa.
“Dia tiba-tiba rasa teruja untuk lihat. Kami tidak pernah melihat perlumbaan go-kart sebelum ini. Dia ke hadapan sedikit dan anak-anak ikut. Ada pengawal keselamatan di situ, tapi kami tidak dihalang.
“Dia (pengawal keselamatan) hanya kata ke belakang sedikit,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Guru Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota itu berkata, kejadian berlaku ketika mereka hendak beredar dan suaminya sempat berkata ‘ini tidak begitu selamat’ sebelum dirempuh.
Katanya, suaminya jatuh agak jauh daripadanya, manakala Nur Zulaikha dan Muhammad Izz Danial jatuh berdekatannya dan beliau bertindak melawan kesakitan untuk bangun ke arah anaknya.
“Allah jaga saya. Saya memang sakit, tapi saya boleh bangun. Saya rangkul anak, cuba panggil dia. Tapi anak sudah tidak bercakap. Suami juga senyap. Semuanya hanya sekelip mata,” katanya.
Beliau berkata, dompet dan telefon bimbitnya juga hilang semasa kejadian. Setakat ini, hanya dompetnya ditemui.
Siti Suhaiza yang menyempurnakan pengebumian jenazah suami dan anaknya di Masjid Tengku Ampuan Azfan, Indera Mahkota, semalam, turut memaklumkan majlis tahlil akan diadakan di surau berhampiran rumah mereka bermula malam ini.
Hari ini, beliau turut menerima kunjungan orang ramai, termasuk Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Datuk Wahid Omar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Tan Sri Noorul Ainur Mohd Nur dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
Sementara itu, ibu Izwan, Hanisah Mohd, 73, menyifatkan anak ke-6 daripada 8 beradik itu sangat bertanggungjawab, sering bertanya khabar dan akan pulang ke kampung di Kota Bharu, Kelantan setiap kali mempunyai masa lapang.
Katanya, Izwan juga bercadang pulang ke kampung bulan depan untuk berkumpul beramai-ramai dengan semua ahli keluarga.
Pautan:
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram