Siti Kasim ketinggalan zaman, PKR jawab tuduhan terhadap Anwar
Ianya berlaku sewaktu Parameswara memasuki Islam dan menukar namanya kepada Sultan Muzaffar Shah.
“Ia (Islamisasi) satu proses yang berterusan. Tidak ada sebarang paksaan kecuali Siti Kasim yang ketinggalan zaman,” kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) PKR, Dr Muhammad Nur Manuty kepada FMT.
Menurutnya, proses Islamisasi bukan dikaitkan dengan Anwar sahaja, malah bermula di alam Melayu sejak abad ke-15 pemerintahan Melaka yang menyaksikan Parameswara menukar nama kepada Sultan Muzaffar Shah.
Nur, bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), organisasi yang pernah dipimpin Anwar satu masa dulu, juga tidak bersetuju dengan tuduhan Anwar membawa masuk pengaruh Wahabi.
“Tak ada kena mengena. Siapa yang sebenarnya ghairah dengan soal Wahabi, Asyaari, Maturidi, ahli Sunnah Wal Jamaah ini? Baru sekarang sahaja dengar, dulu tak pernah dengar pun,” katanya diminta mengulas dakwaan Siti Kasim.
Islamisasi merujuk proses yang dimulakan pentadbiran di bawah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal 1980-an, dalam apa dilihat usaha melemahkan pengaruh PAS ketika itu.
Dalam temuramah bersama Malay Mail Online, Siti Kasim tidak senang Anwar membawa Islamisasi ke Malaysia sambil mengakui beliau “orang yang paling gembira” apabila Anwar jatuh daripada kerajaan.
“Saya tidak bergurau, pada waktu itu saya rasa Malaysia selamat. Malangnya, sudah tentu ramai orang yang sudah pun dipengaruhi olehnya ketika itu.
“Tidak salah untuk membawa masuk perkara yang baik, tetapi dia membawa masuk fahaman Islam Wahabi,” katanya merujuk aliran berasal dari Semenanjung Arab yang dilihat melampau dalam beberapa aspek agama.
“Mengapa anda mahu untuk membawa tafsiran fahaman Wahabi dalam Islam? Mereka mencampur-aduk budaya Arab ke dalam Islam.”
Nur bagaimanapun menggesa Siti Kasim merujuk kepada karya tokoh Islam seperti Prof Syed Naquib Al-Attas bagi mendapatkan pencerahan mengenai sejarah Islamisasi di Tanah Melayu.
Pautan:
Siti Kasim: Saya orang paling gembira bila Anwar jatuh
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram