Taktik Abu Sayyaf guna mangsa culik rayu wang tebusan
Kerajaan Filipina berkata, gambar dan panggilan telefon itu juga bertujuan “membangkit dan bermain” emosi keluarga mangsa serta majikan dan menekan mereka membayar wang tebusan.
PETALING JAYA: Panggilan telefon kepada akhbar The Star dan penyiaran beberapa gambar tebusan warga Malaysia adalah taktik Abu Sayyaf untuk memaksa tentera Filipina berlembut dalam usaha berterusan membebaskan mangsa culik terbabit.
Kerajaan Filipina berkata, gambar dan panggilan telefon itu juga bertujuan “membangkit dan bermain” emosi keluarga mangsa serta majikan dan menekan mereka membayar wang tebusan.
“Pembayaran wang tebusan tidak produktif kerana wang itu akan menjadi keperluan logistik untuk cubaan penculikan seterusnya dalam tempoh beberapa hari atau minggu, dan ia akan menggalakkan ‘perusahaan’ jenayah kumpulan itu serta sekutu mereka bergantung kepada penculikan untuk mendapatkan wang tebusan dan keganasan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kedutaannya di Kuala Lumpur, hari ini.
The Star hari ini melaporkan Mohd Ridzuan Ismail yang diculik Abu Sayyaf dari perairan Lahad Datu, pantai timur Sabah pada 18 Julai lalu, merayu Putrajaya dan majikannya menyelamatkan beliau serta 4 rakyat Malaysia lain.
“Kami sudah tak tahan lagi. Kami sakit, cedera, lemah. Tidak ada makanan. Kami dipukul. Ada orang mahu tembak kami. Tolonglah kami,” kata Ridzuan menerusi telefon kepada akhbar itu.
Rabu lalu, Abu Rami yang bertindak sebagai jurucakap Abu Sayyaf menghubungi The Star dari pulau Jolo, selatan Filipina dan memberikan telefon kepada Ridzuan, 32, untuk menyampaikan pesanannya kepada kerajaan Malaysia.
Ridzuan, dari Pahang, diculik bersama 4 lagi kru bot tunda dari Sabah – Tayudin Anjut, 45, Abd Rahim Summas, 62, Mohd Zumadil Rahim, 23, dan Fandy Bakran, 26.
Bot tunda mereka ditemui kosong di perairan Dent Haven di kawasan Tambisan, Lahad Datu, berhampiran sempadan perairan kepulauan Tawi-Tawi di selatan Filipina.
Kedutaan Filipina berkata, dakwaan kumpulan pengganas itu kononnya tiada kehadiran tentera di tempat persembunyian tebusan adalah cubaan mengelirukan pihak berkuasa.
Bilangan polis dan tentera yang ditempatkan di pulau itu adalah “yang teramai dalam beberapa dekad ini”.
“Dakwaan itu bertujuan menyembunyikan tekanan besar tentera yang dihadapi mereka sehingga menyebabkan mangsa culik lain melarikan diri atau ditemui, seperti warga Filipina Edrina Manalas Bonsil pada 18 Ogos lalu, warga Indonesia Mohamed Sayfan dan Ismail pada hari sama serta rakyat Filipina, Tina Yee pada 21 September lalu.”
Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa Filipina sedang bekerjasama rapat
dengan pihak berkuasa Malaysia untuk berkongsi maklumat perisikan dan maklumat lain dalam usaha membebaskan semua mangsa culik.
Pautan:
Tolonglah, kami dipukul, kelaparan – mangsa Abu Sayyaf rayu Putrajaya
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram