Tindakan Facebook tutup akaun wartawan Palestin dipersoal
Ia bukanlah kejadian kali pertama dan banyak akaun agensi berita Palestin pernah disekat sebelum ini, kata wartawan Nisreen al-Khatib.
Mereka percaya ia ekoran kerjasama dimeterai awal bulan ini antara Facebook dan Israel untuk menangani apa yang didakwa “tindakan menghasut” warga Palestin di media sosial.
Al-Jazeera pada 26 September melaporkan 4 editor Shehab News Agency yang memiliki lebih 6.3 juta “like” di Facebook, dan 3 eksekutif Quds News Network dengan kira-kira 5.1 juta “like”, tidak dapat mengakses akaun peribadi mereka.
“(Quds News Agency) tidak menerbitkan apa-apa yang mencabuli piawai Facebook, atau yang memprovokasi kerajaan. Namun kami masih menjadi sasaran,” kata wartawan Quds News Agency, Nisreen al-Khatib yang memaklumkan segmen hiburan dan berita antarabangsa turut menjadi mangsa sekatan.
Katanya, pada 24 September lalu, Facebook membalas pertanyaan mereka tentang tindakan itu dengan berkata penggantungan dilakukan secara “tidak sengaja”.
Katanya lagi, 3 akaun wartawan yang digantung dibuka semula hujung minggu lalu, namun menambah ia bukanlah kejadian kali pertama dan banyak akaun agensi berita Palestin pernah disekat sebelum ini.
Memetik The Guardian pada 12 September lalu, Israel berkata keganasan oleh warga Palestin tahun lalu dicetuskan hasutan yang disebarkan melalui sosial media, dan Facebook bersetuju bekerjasama menanganinya.
Tel Aviv setakat ini membuat 158 permohonan untuk membuang kandungan yang dikatakan “menghasut”, dan laman sosial itu meluluskan 95% daripada permintaan tersebut.
Remah Mubarak, pengurus Shehab News Agency berkata setakat ini, salah satu daripada 4 akaun eksekutif masih lagi disekat.
“Mungkin mereka tidak mahu liputan dibuat, terutama di Tebing Barat, di mana berlakunya serangan mutakhir ini. Mereka mahu menyekat laman sosial untuk menyembunyikan bukti,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Al-Jazeera mendakwa menghubungi Facebook untuk mendapatkan komen namun masih belum memberikan maklum balas.