Tolonglah, kami dipukul, kelaparan – mangsa Abu Sayyaf rayu Putrajaya
Semua tebusan itu dipercayai ditahan dalam hutan di pulau Jolo, selatan Filipina, dengan dikawal ketat kumpulan pengganas itu.
PETALING JAYA: Sekumpulan rakyat Malaysia yang menjadi tebusan militan Abu Sayyaf sejak kira-kira 2 bulan lalu merayu kerajaan Malaysia bertindak segera menyelamatkan mereka kerana tidak tahan lagi kebuluran, dipukul dan diseksa, lapor The Star.
Mohd Ridzuan Ismail, salah seorang daripada 5 rakyat Malaysia yang diculik anggota Abu Sayyaf dari perairan Lahad Datu, pantai timur Sabah pada 18 Julai berkata demikian kepada akhbar berkenaan menerusi telefon.
“Kami sudah tak tahan lagi. Kami sakit, cedera, lemah. Tidak ada makanan. Kami dipukul. Ada orang mahu tembak kami. Tolonglah kami,” katanya.
Pada Rabu, Abu Rami yang bertindak sebagai jurucakap Abu Sayyaf menghubungi akhbar itu dari pulau Jolo, selatan Filipina dan memberikan telefon kepada Ridzuan, 32, untuk menyampaikan pesanannya kepada kerajaan Malaysia.
“Saya tebusan dari Malaysia. Saya minta tolong daripada kerajaan dan majikan saya untuk menyelamatkan kami secepat mungkin.
“Kami sengsara di pulau Jolo. Kami merayu kerajaan Malaysia dan majikan kami berunding untuk pembebasan kerana kami mahu pulang,” katanya dalam perbualan 8 minit itu, lapor The Star.
Ridzuan, dari Pahang, diculik bersama 4 lagi kru bot tunda dari Sabah – Tayudin Anjut, 45, Abd Rahim Summas, 62, Mohd Zumadil Rahim, 23, dan Fandy Bakran, 26.
Bot tunda mereka ditemui kosong di perairan Dent Haven di kawasan Tambisan, Lahad Datu, berhampiran sempadan perairan kepulauan Tawi-Tawi di selatan Filipina.
Dalam perbualan itu, The Star melaporkan Rizduan sebagai berkata mereka ditahan dalam hutan dan diberi makan sekali sekala dan dipukul dengan senjata.
“Minum air parit dari longkang. Kalau ada makanan, hanya nasi untuk alas perut. Kami tidur atas tanah, bila hujan kami basah,” katanya.
Ridzuan berkata pada awalnya penculik akan menghubungi majikannya untuk meminta wang tebusan tetapi sejak akhir-akhir ini pemilik kapal itu tidak lagi menjawab panggilan.
Sehari sebelum rayuan Ridzuan itu, Abu Rami menerusi temu bual telefon berkata penculik mendesak 100 juta peso (RM8.5 juta) untuk pembebasan tebusan dan mereka disimpan di pulau Jolo oleh ketua Abu Sayyaf dikenali sebagai Abu Khalif.
Akhbar itu melaporkan, pihak berkuasa Malaysia dipercayai bekerjasama dengan Filipina untuk menyelamatkan semua tebusan.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun enggan mengulas mengenai rundingan pembebasan tebusan dan hanya berkata mereka “masih menunggu”.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata beliau akan mengarahkan polis meningkatkan lagi komunikasi dan rundingan dengan penculik untuk membebaskan mangsa.
Pautan:
5 kru bot tunda sah diculik Abu Sayyaf
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram