Bahasa masih penghalang IS tarik minat militan Cina
Dua pertubuhan mewakili muallaf dan komuniti Cina beragama Islam di negara ini memberikan reaksi susulan pendedahan IS mula mempengaruhi militan berbangsa Cina dari Xinjiang.
Pengerusi Persatuan Cina Islam Malaysia (Macma) Melaka, Lim Jooi Soon mengulas kenyataan Bukit Aman seperti dipetik Oriental Daily semalam, mengenai langkah IS merekrut golongan itu menyertai mereka.
Polis Cawangan Khas turut mendapati laman web dan media sosial IS memuatkan lagu dalam bahasa Mandarin bagi menarik minat segmen itu.
Bagaimanapun, Jooi Soon berkata bahasa Arab tetap diperlukan untuk IS meneruskan propaganda mereka.
“Apa yang mereka siarkan di internet itu untuk menimbulkan rasa ingin tahu, tetapi tetap akan ada proses perbincangan susulan untuk mempengaruhi anda. Maka sesiapa pun, termasuk golongan Cina Muslim, tetap memerlukan asas bahasa Arab untuk berkomunikasi dengan mereka,” katanya kepada FMT.
Katanya lagi, hanya golongan yang tiada asas agama kukuh serta kefahaman yang sempit mudah termakan dengan propaganda IS.
“Berbanding kebanyakan orang yang lebih sederhana dan terbuka, termasuk Cina Muslim di sini, golongan ini agak keras dan merasakan pegangan berbeza sebagai sesat. Mereka akan rasa marah dengan perbezaan ini, dan seterusnya mudah terpengaruh dengan IS,” kata Jooi Soon, yang dalam proses menerbitkan buku menjawab persoalan yang dikemukakan IS untuk mempengaruhi orang Islam.
Katanya lagi, kebanyakan muallaf di Malaysia masih dalam proses mengenal Islam dan mengukuhkan akidah, maka tidak memiliki sentimen seperti golongan Islam lain yang mudah “diapi-apikan” IS.
Pegawai Bahagian Kajian dan Strategik Cawangan Khas Bukit Aman, Tan Kok Tiang, sebelum ini berkata seramai 800 umat Islam berketurunan Uighur dari China didapati terlibat dalam IS.
Etnik Uighur dari wilayah Xinjiang yang beragama Islam merupakan kumpulan minoriti yang sering menerima tekanan Beijing.
Sementara itu, sebuah pertubuhan mewakili muallaf berbilang bangsa berkata tiada isu yang dihadapi golongan Cina Islam di negara ini yang boleh dieksploitasikan IS untuk merekrut mereka.
Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung turut berharap pendedahan polis mengenai keanggotaan golongan berketurunan Cina dalam IS tidak dijadikan alasan mengenepikan komuniti Cina Islam di negara ini.
“Penyelesaiannya adalah kita kurangkan berkongsi video atau berita (tentang IS). Jangan terus percaya khabar angin tanpa mendapatkan kebenarannya terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram