Persatuan gesa benarkan amah Kemboja isi 120,000 kekosongan
Raja Zulkepley berkata, perjanjian ditandatangani dengan Kemboja untuk membawa masuk pembantu rumah ke Malaysia pada November 2015, tetapi sehingga kini belum ada kemasukan amah dari negara itu.
PETALING JAYA: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap) menggesa kerajaan mempercepatkan proses membawa masuk pembantu rumah dari Kemboja bagi mengisi hampir 120,000 kekosongan dalam sektor itu.
Presidennya, Datuk Raja Zulkepley Dahlan berkata, Kementerian Sumber Manusia perlu lebih peka dengan masalah kritikal yang dihadapi sektor itu sehingga menyebabkan agensi pembantu rumah sukar meneruskan operasi mereka.
“Sebelum moratorium dilaksanakan pada 2004, negara mempunyai 320,000 majikan berdaftar. Namun, angka itu terus jatuh kepada 200,000 majikan pada waktu ini.
“Kita kehilangan hampir separuh daripada angka berkenaan yang mana mereka masih menunggu giliran untuk permohonan diluluskan.
“Namun, atas faktor tiada bekalan mencukupi, permintaan mereka terpaksa kita tangguh dahulu,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein menggesa kerajaan tampil dengan inisiatif bagi mengatasi masalah kekurangan pembantu rumah Indonesia bermula 2017.
Pada Februari 2015, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan negara itu mahu menghentikan amalan menghantar rakyatnya bekerja sebagai pembantu rumah di negara lain, demi maruah dan harga diri mereka.
Raja Zulkepley berkata, Malaysia menandatangani perjanjian membekalkan pembantu rumah ke negara ini dengan Kemboja pada November 2015.
“Namun, sampai saat ini, tiada khabar berita langsung mengenai kemasukan pembantu rumah dari negara berkenaan. Sudah tentu hal ini menyukarkan pihak agensi yang menerima permohonan setiap hari,” katanya yang menganggap kerajaan tidak serius menyelesaikan masalah itu, memandangkan sudah beberapa kali isu berkenaan disiarkan media tempatan.
Selain Indonesia, Malaysia turut mendapat bekalan pembantu rumah dari Filipina, Vietnam, Laos dan Thailand.
“Permintaan untuk pembantu rumah dari Indonesia masih tertinggi kerana tangga gaji yang dianggap berpatutan. Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat dari sana dilihat tidak lagi berminat datang ke Malaysia kerana mendapat tawaran lebih tinggi.
“Jangan salahkan pihak agensi dalam hal ini. Penetapan kadar harga dibuat kerajaan dan negara pembekal itu sendiri,” katanya sambil menambah bayaran RM800 sebulan tidak lagi relevan dengan kos sara hidup ketika ini.
“Negara seperti Hong Kong menawarkan gaji sebanyak RM1,800, Taiwan RM1,700. Malah, di Indonesia, pembantu rumah mampu mendapat hampir RM1,000 hingga RM1,200 setiap bulan.
“Atas faktor ini, ramai pembantu rumah asing tidak lagi berminat datang ke Malaysia kerana mereka boleh dapat lebih banyak di negara lain. Kerajaan harus tetapkan kadar gaji lebih sesuai agar kita tidak kehilangan bekalan pembantu rumah dari negara ini,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Dalam pada itu, Raja Zulkepley menasihatkan majikan tempatan supaya menghormati pembantu rumah asing dan tidak menganggap mereka hamba abdi.