Tinjauan: BN dijangka menang selesa selepas persempadanan semula
Pembentangan IDE menunjukkan BN mendapat kemenangan selesa setiap kali selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan.
SHAH ALAM: Jika kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan Parlimen, Barisan Nasional (BN) hanya memerlukan 35% undi popular untuk terus memerintah Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, menurut tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE).
Timbalan Pengerusinya, Prof Datuk Redzuan Othman berkata, ia adalah hasil kajian awal pihaknya berdasarkan sentimen pengundi pada PRU 2013.
“Saya tahu cadangan persempadanan semula belum muktamad, tetapi melihat kepada apa yang sudah disiarkan, jumlah undi popular BN yang diperlukan kali ini mungkin kurang (daripada PRU13),” katanya ketika membentangkan tinjauan IDE: Isu dan Persepsi Pengundi Selangor di Hotel Carlton, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula pada 1958, 1974, 1984, 1994 serta 2003, dan IDE mendapati ia menjadi penyumbang kepada kemenangan selesa BN pada 1959, 1974, 1986, 1995 dan 2004.
Pembentangan IDE menunjukkan BN memenangi 74 daripada 104 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada 1959 atau 51.7% undi popular, diikuti 135 daripada 154 kerusi (60.7% undi popular) pada 1974.
Pada 1986, BN memenangi 148 daripada 177 kerusi (55.8% undi popular), 1995 menang 162 daripada 192 kerusi (65.2% undi popular) dan 2004 menang 198 daripada 219 kerusi (63.8%).
Namun, kegagalan melakukan persempadanan semula pada 2013 menyaksikan BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Dalam Pilihan Raya Umum 2013 lalu, BN hanya memperolehi 46% undi popular, tetapi berjaya memerintah Malaysia dengan kelebihan jumlah kerusi.
“Berdasarkan pengiraan saya, ini (35%) sudah cukup untuk BN mempunyai kerusi mencukupi di Parlimen,” katanya.
Minggu lalu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengkritik kajian persempadanan semula itu yang disifatkan sebagai “menyembelih” peta Selangor dan bertujuan membantu Umno merampas Selangor daripada Pakatan Harapan dan PAS.
Redzuan berkata, kajian persempadanan semula yang didakwa beberapa pihak berat sebelah itu akan mendapat tentangan rakyat kerana ia disifatkan bakal memudahkan kemenangan BN.
“Saya yakin bantahan akan dibuat dan Bersih 5 yang akan bermula tidak lama lagi antara penentunya sama ada bantahan ini kuat atau tidak. Kalau ratusan ribu orang turun, sudah tentu ia membayangkan kesedaran rakyat,” katanya.
Beliau berkata, tinjauan itu turut mendapati, kebanyakan pengundi di kawasan majoriti Melayu masih menyokong BN, walaupun kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak dipalit skandal 1MDB.
Mengenai peluang Pakatan Harapan untuk kekal memerintah Selangor, Redzuan berkata, tinjauan itu menunjukkan 59% pengundi masih yakin terhadap kerajaan sedia ada untuk terus mentadbir Selangor, manakala BN mendapat 29% sokongan dan 12% lagi tidak menyokong sebarang parti.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Tinjauan itu disertai 1,761 responden di Selangor mulai 26 Ogos hingga 30 Ogos lalu.