Bangunan AAM terjual RM7.5 juta, tak jamin tunggakan gaji selesai
Pengurusan AAM tidak menjamin yang hasil jualan bangunan ibu pejabat itu akan digunakan untuk menyelesaikan hutang gaji pekerja dan tuntutan perkhidmatan daripada ahli.
Setiausahanya, A Sivarajan berkata pihak pengurusan AAM tidak menjamin yang penjualan bangunan itu pada nilai RM7.5 juta akan digunakan untuk menyelesaikan hutang gaji pekerja dan tuntutan perkhidmatan daripada ahli.
“Setakat ini tidak ada jaminan bangunan itu dijual untuk membayar gaji pekerja, malah pengurusan tertinggi AAM mempunyai kuasa penentu dalam membuat keputusan,” katanya kepada FMT.
AAM yang berdepan krisis hutang sebanyak RM6 juta, dilaporkan menjual bangunan ibu pejabatnya kepada WWRC Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat larutan kimia dengan lembaga pengarah terdiri daripada warga Singapura dan Taiwan.
Menurut dokumen yang dilihat The Sun, AAM sudah menerima 10% daripada harga jualan RM7.5 juta itu pada Mei lalu, sebelum mesyuarat agung khas (SGM) dipanggil untuk mendapatkan kelulusan ahli.
Sivarajan berkata beliau tidak menolak kemelut yang melanda AAM akan bertambah parah dengan penutupan beberapa lagi cawangan susulan pemberhentian lebih ramai pekerja.
“Saya tidak menolak banyak cawangan yang akan ditutup bakal mengganggu perkhidmatan AAM kepada ahli.
“Saya nasihatkan pekerja supaya jangan terburu-buru berhenti kerja sebelum menerima gaji dan terus membuat laporan pada Jabatan Tenaga Kerja. Jika mereka berhenti begitu saja, mereka tidak boleh membuat tuntutan gaji,” katanya.
Sementara itu, pekerja AAM mendakwa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam proses menyaman AAM kerana hampir setahun tidak membuat caruman untuk pekerjanya, selain 16 pusat panggilan bantuan pelanggan dikatakan tidak beroperasi kerana pekerja tidak lagi bertugas.
Sementara itu, cubaan FMT menghubungi Pengerusi AAM Datuk Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha dan timbalannya, Wan Zaharuddin Wan Ahmad masih lagi gagal untuk mendapat penjelasan lanjut berhubung kemelut yang berlaku.
Pautan:
Tindakan AAM jual bangunan di Shah Alam dipersoalkan
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram