Gunung berapi Rinjani meletus, 300 pendaki terperangkap
Sejak 25 hingga 27 September lepas, 389 pengunjung dilaporkan mendaki gunung itu yang terdiri 333 rakyat asing manakala selebihnya rakyat Indonesia.
Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho dalam kenyataan media berkata, ketika berlaku letusan gunung pada 2.45 petang semalam, terdapat 389 pengunjung berdaftar dilaporkan berada di gunung itu.
Katanya, berdasarkan maklumat daripada pengurusan Taman Nasional Gunung Rinjani sejak 25 hingga 27 September lepas, 389 pengunjung dilaporkan mendaki gunung itu yang terdiri 333 rakyat asing manakala selebihnya rakyat Indonesia.
Beliau berkata kerja mencari dan menyelamat semua pengunjung itu sedang dijalankan bagi meminta mereka keluar dari kawasan gunung berkenaan.
“Akibat letusan ini, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) melarang individu mendekati sekitar radius 3 kilometer dari kawah Gunung Barujari,” katanya seperti yang dipetik media dalam talian.
Abu vulkanik yang disemburkan gunung itu dilaporkan mencapai 2,000 meter dan ia mempunyai potensi untuk berlaku letusan susulan.
Sutopo berkata berdasarkan hasil analisis data visual dan instrumental, PVMBG menaikkan status Gunung Rinjani daripada tahap Normal Aktif (level I) menjadi Waspada (level II) mulai petang semalam dan untuk sementara waktu gunung itu ditutup untuk kunjungan awam.
Masyarakat di sekitar Gunung Rinjani diminta tenang tetapi sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan pihak berkuasa, katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram