Pemilik kapal tunda pula diculik di Semporna
Polis berkata, Ruslan Sarapin diculik 6 lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 26 lagi anak kapalnya di perairan berkenaan malam semalam.
KOTA KINABALU: Sekumpulan lelaki bersenjata menculik seorang pemilik kapal pukat tunda warga tempatan dan merompak anak kapalnya berhampiran perairan Pulau Gaya, Semporna sebelum melakukan 1 lagi rompakan di sebuah kapal nelayan di perairan Tungku, Lahad Datu malam tadi.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata Ruslan Sarapin, 39, diculik 6 lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 26 lagi anak kapalnya di perairan berkenaan kira-kira 9.30 malam.
“Ketika kejadian, kapal nelayan mangsa didatangi sebuah bot laju dinaiki enam6 lelaki yang antaranya bersenjatakan pistol M14 dan M16.
“Empat suspek kemudian menaiki dan menggeledah kapal berkenaan sebelum menculik mangsa serta melarikan semua dokumen, barangan peribadi, telefon bimbit milik anak kapal berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati 25 anak kapal berkenaan bukan warganegara Malaysia dan seorang lagi rakyat tempatan.
Rashid berkata kumpulan lelaki bersenjata api sama kemudian merompak sebuah lagi kapal nelayan yang dinaiki 19 anak kapal di perairan Tungku, Lahad Datu.
Beliau berkata dalam kejadian 10.05 malam itu, kapal berkenaan yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan tersebut didatangi sebuah bot laju yang dinaiki 7 lelaki.
“Dalam kejadian itu, 3 lelaki bersenjata api menaiki dan menggeledah kapal berkenaan sebelum melarikan enjin sangkut, beras, minyak masak, pakaian, telefon bimbit dan wang tunai RM300 milik anak kapal.
“Suspek kemudiannya dipercayai melarikan diri menuju ke perairan antarabangsa,” katanya.
Menurutnya siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah berkenaan suspek yang sama menculik pemilik kapal tunda di Semporna.
Rashid berkata jarak kedua-dua lokasi kejadian5 batu nautika dan hanya mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan menggunakan bot laju.
Beliau berkata ketika kejadian, kedua-dua kapal berkenaan beroperasi dalam kawasan arahan perintah berkurung dan tidak mempunyai permit pengecualian perintah berkurung daripada ketua polis Daerah di kawasan masing-masing.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kapal berkenaan juga tidak dilengkapi sistem pengesanan Automatic Identification System (AIS) dan sebarang alat komunikasi yang disarankan pihak berkuasa,” katanya.