2 tahun selepas insiden ‘Balotelli’, Azharuddin dilantik presiden mesyuarat ICAO
Pemilihan ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengetuai perhimpunan badan antarabangsa itu dianggap satu pengiktirafan kepada Malaysia.
Pemilihan ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) itu diumum Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menganggap ia sebagai pengiktirafan kepada Malaysia.
Azharuddin merupakan antara pegawai mewakili Malaysia yang berdepan media antarabangsa susulan kehilangan pesawat MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan ke Beijing pada 8 Mac, 2014.
Beliau dikecam selepas kenyataannya kepada media menyamakan 2 penumpang yang didakwa menggunakan pasport curi dengan iras wajah Mario Balotelli, pemain bola sepak profesional Itali yang berkulit hitam.
“Boleh saya katakan di sini bahawa 2 individu berkenaan tidak mempunyai rupa paras orang Asia.
“Kamu kenal Balotelli? Jadi dia bukan memiliki rupa orang Asia,” katanya.
Azharuddin bagaimanapun enggan menjawab pertanyaan pemberita sama ada 2 individu berkenaan berasal dari Afrika.
Dua penumpang yang dimaksudkan itu merupakan warga Iran, Pouria Nour Mohammad dan Seyed Mohammed Rezar Delawar yang cuba mendapatkan suaka politik di Eropah.
Komen Azharuddin itu mengundang kritikan antarabangsa dengan pelbagai sindiran dimuat naik pengguna media sosial.
Tahun lalu, Azharuddin dilaporkan tidak menyesali cara beliau mengendalikan taklimat media harian mengenai MH370.
“Malah sehingga sekarang saya masih dikritik. Saya masih tidak berubah dari 8 Mac tahun lepas sehingga sekarang,” beliau dipetik Astro Awani berkata pada ulang tahun pertama kehilangan MH370.
ICAO merupakan badan di bawah PBB yang menggabungkan negara anggota bagi mencapai kata sepakat dan konvensyen mengenai penerbangan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram