Hanya tinggal tingkap pecah di replika Kelab Sultan Sulaiman
Sedangkan, tapak bangunan di Kampung Baru, KL itu banyak menyimpan sejarah pertemuan golongan pemimpin Melayu yang bermesyuarat untuk menuntut kemerdekaan.
KUALA LUMPUR : Replika Bangunan Warisan Kelab Sultan Suleiman yang siap dibina dan dirasmikan pada 2007 oleh Sultan Selangor pada masa itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah kini hanya sebuah bangunan usang.
Terbiar, tidak berjaga dengan sempurna, kelilingnya penuh semak dan pokok tinggi hingga menjadikan bangunan yang turut dikenali sebagai Rumah Putih di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur seperti tidak bernilai.
Tinjauan FMT baru-baru ini juga mendapati pintu dan cermin di bangunan itu pecah, cat di dindingnya pudar dengan semak samun, tanpa siapa peduli untuk memotong rumput di sekitarnya.
Mengikut sejarah awal, bangunan asal kelab itu dibina pada 1909 dengan reka bentuk seni bina Melayu dengan sentuhan Minang. Pada 1914 penduduk Kampung Baru mohon struktur asal ditambah, tetapi bangunan itu musnah dalam kebakaran pada 1930.
Yang Dipertua Kelab ketika itu, Raja Tun Uda Raja Mohamed kemudian berusaha mendirikan semula bangunan itu pada 1932 yang berdindingkan papan dan beratapkan genting. Setelah bertahan 35 tahun, keadaannya yang kian uzur menyebabkan ia ditinggalkan dan akhirnya pada 1967, bangunan itu dirobohkan.
Usaha untuk membina semula bangunan kelab diteruskan kerajaan negeri Selangor pada 1967 melalui surat permohonan menteri besar pada masa itu Datuk Harun Idris, kepada timbalan perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein.
Akhirnya, bangunan baru yang dinamakan Dewan Sultan Sulaiman terbina dan dirasmikan Tun Razak pada 30 April 1969.
Pada awal 2007 pula, Jafri Merican Architect dilantik Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk mereka bentuk sebuah replika menyerupai reka bentuk asal Kelab Sultan Sulaiman yang pernah dibina pada 1932.
Maka terbinalah bangunan sekarang yang siap pada akhir November 2007 dan disempurnakan perasmiannya pada 8 Disember 2007. Jabatan Warisan Negara (JWN) di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bertanggungjawab mengurus selia bangunan itu sehingga kini.
Tetapi, sayangnya bangunan bersejarah itu dalam keadaan amat parah pada masa ini, tanpa pembelaan dan seolah-olah tiada siapa yang peduli.
Sehubungan itu, penduduk Kampung Baru Mohd Redza Shahwis, 65, berkata pihak berkenaan perlu menyelenggarakan bangunan itu dan tidak membiarkannya tidak terurus.
“Dulu dengarnya hendak dijadikan tempat pelancongan, muzium, kelab, tempat bersejarah. Tetapi sekarang sudah pecah sana sini,” katanya.
Redza yang menetap di Kampung Baru sejak kecil berkata bangunan itu perlu dicantikkan semula untuk menarik minat pelancong dari luar dan dalam negeri berkunjung ke situ.
“Ini tempat bersejarah kerana di sini permulaan kemerdekaan negara kita. Jangan biarkan ia jadi projek gajah putih,” katanya.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Zul, 60, berkata warisan bangunan itu sepatutnya dipelihara kerana ia tidak dapat lagi dibanggakan jika terus terbiar.
“Kena ada pihak yang ambil tindakan, ini masing-masing lepas tangan, terlepas pandang. Mana mungkin kita terlepas pandang kerana bangunan ini letaknya di tepi jalan,” katanya.
“Ia perlu diselenggarakan dan dibaik pulih. Sayang, mana nak cari bangunan lama macam ini, tapak dia, warisan sejarah pemimpin kita. Kalau tak dipulihara generasi akan datang tak tahu sejarah di sini,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
https://www.youtube.com/watch?v=kHIZuFN5Sbk&feature=youtu.be