Kementerian cadang mansuh cukai kerusi kereta kanak-kanak
Cadangan itu dikemukakan bagi membolehkan ibu bapa memiliki kerusi kereta kanak-kanak untuk dipasang di kenderaan masing-masing demi keselamatan kanak-kanak dan bayi.
The Sun melaporkan, cadangan itu dikemukakan bagi membolehkan ibu bapa memiliki kerusi kereta kanak-kanak untuk dipasang di kenderaan masing-masing demi keselamatan kanak-kanak dan bayi.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata pihaknya sedar kos yang mahal bagi setiap kerusi kereta berkenaan menyebabkan ramai ibu bapa tidak dapat membelinya.
“Kementerian akan mengemukakan permohonan pengecualian cukai bagi penggunaan sistem menahan diri kanak-kanak (CRS) itu.
“Kami mahu menjadikan kerusi kereta kanak-kanak mampu dimiliki ibu bapa kerana kita sedar kosnya antara alasan kenapa mereka sukar membeli dan memasangnya dalam kenderaan masing-masing,” katanya kepada The Sun.
Kerusi kereta kanak-kanak pada masa ini dikenakan GST bersama duti import sehingga 30% kerana ia dikategorikan sebagai aksesori kereta di bawah kod HS 9401.2 oleh Jabatan Kastam.
Bagaimanapun, seorang pembekal barangan itu di Lembah Klang berkata tidak semua kerusi kereta kana-kanak yang diimport dikenakan cukai tinggi.
“Contohnya, jika kita mendapatkannya dari China, tidak ada duti cukai import kerana Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (Afta). Tetapi jika bukan rundingan Afta, kena duti 30%,” katanya.
Sementara itu, menurut The Sun Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Datuk Arifin Che Mat berkata kebanyakan kerusi kereta kanak-kanak yang mendapat persijilan R44 di pasaran, adalah barangan import.
Beliau berkata pihaknya sudah berhubung dengan pengedar tempatan dan pembuat kereta sejak beberapa bulan lalu untuk berbincang bagaimana harga kerusi kereta kanak-kanak dapat dikurangkan.
Difahamkan, Kementerian Pengangkutan akan melancarkan kempen keselamatan sepanjang setahun bermula November depan untuk menggalakkan ibu bapa memasang CRS sebelum kementerian menguatkuasakannya pada 2019.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram