Muhyiddin temui Hadi, yakin boleh jinakkan PAS
Muhyiddin dijangka menyertai program PAS esok, walaupun pendirian parti itu masih samar sama ada mahu bekerjasama dengan PPBM.
Muhyiddin baru-baru ini mendedahkan beliau menemui Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membincangkan perkara itu.
“Kita yakin boleh menjadi ‘glue’ kepada PAS agar terus bersama melawan BN dalam pilihan raya nanti,” katanya dalam pertemuan dengan beberapa pemimpin PPBM Kelantan baru-baru ini.
Esok, bekas timbalan presiden Umno itu dilaporkan akan tampil di atas pentas PAS buat julung kalinya, dalam program anjuran PAS Terengganu.
Muhyiddin dijadual menyampaikan ceramah pada program “Himpunan Harapan Semua” itu bersama Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Yahaya Ali.
Walaupun rata-rata Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah bersetuju bekerjasama dengan PPBM, pendirian PAS dilihat masih samar, dengan tiada keputusan jelas dari pucuk pimpinan sama ada ia akan mengadakan kerjasama dengan parti yang berusia kurang sebulan itu.
PAS dilihat kurang senang dengan kehadiran DAP dan Amanah, sementara masih menjalinkan hubungan dengan PKR.
PKR juga terus berusaha memujuk PAS agar terus bersama pembangkang bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu dengan BN pada pilihan raya umum yang perlu diadakan pada 2018.
Kontroversi yang dicetuskan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengubah peta pilihan raya, yang dilihat pembangkang satu langkah memenangkan BN, turut mendatangkan kesan kepada PAS.
Ini kerana walaupun PAS dilihat semakin mesra dengan Umno, kepentingan politiknya akan terjejas sekiranya persempadanan semula SPR diluluskan, termasuk di kawasan yang diwakili Hadi di Marang, Terengganu.
Pusat kajian di bawah kerajaan Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini berkata BN boleh dikalahkan pada pilihan raya dengan syarat pembangkang berdepan satu lawan satu.
Timbalan Pengerusi IDE, Datuk Dr Redzuan Othman berkata pertandingan 3 penjuru akan menguntungkan BN walaupun dengan peta pilihan raya sedia ada.
PPBM Kelantan
Muhyiddin pada Selasa lalu mengadakan pertemuan dengan beberapa bakal pemimpin PPBM Kelantan di pejabatnya di Damansara.
Mereka termasuk bekas ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Kamarudin Md Nor, bekas ketua Pemuda Umno Kelantan Dr Zaiyadi Awang Noh, bekas ahli Parlimen Tanah Merah yang juga bekas setiausaha Parlimen, Datuk Sazmi Miah, dan timbalan ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa.
Che Johan pada PRU 2013 menggemparkan Umno apabila tidak mengemukakan kertas pencalonan di kerusi Pasir Mas, yang ditandingi calon bebas, Datuk Ibrahim Ali.
Satu nama tokoh politik Kelantan, Datuk Ibrahim Ali, bagaimanapun tidak kelihatan dalam perbincangan bersama Muhyiddin itu.
Sebelum ini, Datuk Zaid Ibrahim berkata Kamaruddin, Zayadi dan Sazmi merupakan 3 pemimpin “yang boleh berkerjasama dengan Datuk Husam (Musa) dan merampas Kelantan dari parti yang tak berguna ini”, kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merujuk bekas naib presiden PAS yang menyertai Amanah Ogos lalu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram