Kemudahan pinjaman RM20 juta bela penjaja Cina
Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur dan Selangor berkata penjaja masyarakat Cina saban tahun sentiasa berdepan isu kenaikan kadar sewa tapak dan gerai.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur dan Selangor Datuk Ang Say Tee berkata penjaja masyarakat Cina saban tahun sentiasa berdepan dengan isu kenaikan kadar sewa tapak dan gerai.
“Ada kalangan mereka tidak mampu membayar sewa tapak dan gerai yang kadang-kala mencecah sehingga RM1,000 setahun.
“Kos itu tidak termasuk membeli bahan masakan dan barangan basah yang harganya semakin meningkat berikutan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.
Ang berkata kesukaran mendapatkan pinjaman mengakibatkan pendapatan yang tidak menentu oleh penjaja sejak sekian lama.
“Namun, saya mencadangkan kerajaan dapat meningkatkan jumlah itu kepada RM30 juta pada masa akan datang untuk membantu lebih ramai lagi penjaja khususnya yang berpendapatan rendah agar dapat perniagaan mereka lancar,” katanya.
Beliau berkata kira-kira 30,000 penjaja dan peniaga kecil komuniti Cina sekitar Lembah Klang berdaftar di bawah persatuan itu pada masa ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2017 mengumumkan RM20 juta disalurkan kepada Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia untuk memberi pinjaman kepada penjaja komuniti Cina.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia Datuk Rosli Sulaiman berkata beban penjaja dan peniaga kecil terhadap modal perniagaan mereka dapat dikurangkan menerusi bantuan pinjaman itu.
Katanya, jumlah itu lebih daripada mencukupi kerana dengan anggaran pinjaman minimum RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap peniaga, mereka dapat menampung keperluan perniagaan mereka daripada segi kadar sewa dan keperluan gerai.
“Sebenarnya bagi memulakan perniagaan secara gerai dan penjaja, mereka tidak memerlukan modal yang besar, dan sewa tapak biasanya diberikan berkuasa tempatan dengan harga murah.
“Saya percaya masih banyak lagi bantuan yang akan diberikan kerajaan pada masa akan datang untuk manfaat penjaja dan peniaga kecil sebagai kemudahan kepada mereka menjana pendapatan menerusi perniagaan,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram