Revolusi guling kerajaan bukan agenda kami, kata Maria Chin
Maria Chin ketika menolak dakwaan Zahid Hamidi berkata, agenda Bersih 2.0 adalah tadbir urus baik dan pilihan raya bebas serta adil.
PETALING JAYA: Maria Chin Abdullah menafikan dakwaan Bersih 2.0 cuba memulakan “revolusi warna” untuk menggulingkan kerajaan.
Pengerusi Bersih 2.0 itu berkata, jika badan bukan kerajaan (NGO) itu sememangnya berhasrat menjatuhkan kerajaan melalui “revolusi warna”, ia tidak akan mendapat sokongan rakyat.
“Saya akan biar rakyat menilai apa yang kami lakukan. Jika kami cuba memulakan revolusi, bilangan orang yang hadir pada perhimpunan dan ‘vigil’ nyalaan lilin baru-baru ini adalah sifar.”
Maria mengulas dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang beberapa pertubuhan dipengaruhi gerakan “revolusi warna” seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Majlis Peguam Malaysia, Malaysiakini dan Sarawak Report.
Sehubungan itu, menteri dalam negeri itu berkata, sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk membanteras usaha menggulingkan kerajaan akan mencari maklumat berkaitan “sehingga ke lubang cacing”.
Maria berkata, Bersih 2.0 sentiasa telus mengenai permintaan mereka yang langsung tiada kaitan dengan revolusi mahupun usaha menjatuhkan kerajaan.
“Agenda kami ialah tadbir urus baik dan pilihan raya bebas serta adil. Adakah kerajaan mengatakan ini bukan agenda mereka juga?” soalnya.
Suaram yang dihubungi FMT berkata, ia tahu mengenai dakwaan itu tetapi belum bersedia memberi komen.
Sementara itu, cubaan menghubungi Majlis Peguam Malaysia bagaimanapun tidak berjaya.
Zahid: Jawatankuasa halang usaha guling kerajaan ‘sehingga lubang cacing’
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram