Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Tersenarai Anugerah Puskas, FAM ucap tahniah Faiz Subri

 | December 3, 2016

Setiausaha agung FAM berkata diharapkan semua rakyat akan terus mengundi untuk Faiz merangkul anugerah itu.

Datuk-Hamidin-Mohd-Amin

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengucapkan tahniah kepada pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri kerana muncul antara 3 calon utama bagi Anugerah Puskas FIFA 2016 dengan jaringan ajaibnya.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan terima kasih kepada pemain itu kerana mengharumkan nama negara di persada antarabangsa selepas muncul pendahulu dalam senarai undian pusingan pertama yang berakhir hari ini.

“Bagi pihak FAM, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Faiz kerana dipilih antara 3 finalis anugerah tersebut. Saya harap semua rakyat Malaysia akan terus mengundi untuk beliau merangkul anugerah itu,” katanya.

Mengenai kemungkinan FAM memberi ganjaran, Hamidin berkata: “FAM akan memutuskannya kemudian bagi menghargai kejayaan itu.”

Beliau berkata pegawai FAM akan mengiringi Faiz untuk majlis anugerah itu yang akan diadakan sempena Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland, 9 Januari depan.

Selain Faiz, 2 lagi finalis ialah Johnath Marlone, pemain kelab Corinthians dari Brazil dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Selepas undian pusingan ditutup hari ini, 3 finalis itu akan melalui proses undian kedua yang bermula hari ini sehingga tarikh tutup pada hari anugerah itu di Zurich, 9 Januari nanti.

Sementara itu, pengurus baharu skuad Black Panthers, Zairil Khir Johari berkata kejayaan Faiz adalah hasil sokongan semua rakyat Malaysia dan peminat bola sepak dari seluruh dunia yang kagum dengan jaringan itu.

“Kami harap semua rakyat Malaysia terus menyokong dan mengundi Faiz kerana beliau melakar sejarah sebagai orang pertama di Malaysia dan juga dari rantau ini dinamakan sebagai calon untuk anugerah itu,” katanya.

Beliau berkata Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) juga berharap pencapaian Faiz itu akan menjadi motivasi untuk semua pemain remaja dan profesional.

“Menang atau kalah di Zurich tidak kisah kerana di mata persatuan dan seluruh rakyat Malaysia, Faiz juara dalam hati kita,” katanya sambil menambah FAP sedang membincang ganjaran untuk pemain tersebut.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa turut memuji pencapaian Faiz.

“Bagi jaringan ajaibnya disenarai pendek antara 3 calon Anugerah Puskas sememangnya pencapaian bersejarah khusus bagi Faiz dan bola sepak negara amnya.

“Kewartawanan sukan negara bangga dengan beliau dan saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus menyatakan sokongan dengan mengundi Faiz pada pusingan kedua bagi memastikan beliau dapat membawa pulang anugerah itu ke tanah air,” katanya.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments