Keluarga ‘Datuk’ ditembak mati akan saman syarikat pengawal keselamatan
Isteri mangsa berkata, hari kejadian itu adalah hari pertama pengawal peribadi itu bekerja dengan suaminya selepas disyorkan syarikat tersebut.
GEORGE TOWN: Keluarga ahli perniagaan Datuk Ong Teik Kwang yang mati ditembak pengawal peribadinya Khamis lalu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat perkhidmatan pengawal keselamatan itu.
Isterinya, Datin Vivian Cheow berkata, hari kejadian itu adalah hari pertama pengawal peribadi itu bekerja dengan suaminya selepas disyorkan syarikat tersebut.
Beliau berkata, ahli keluarganya amat sedih dengan kejadian yang menimpa Ong dan mereka akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap syarikat tersebut.
“Kami akan mengambil tindakan sepatutnya, termasuk tindakan undang-undang terhadap syarikat itu untuk memberi keadilan kepada suami saya,” katanya di Pusat Pengurusan Mayat Leong San Tong Khoo Kongsi, semalam.
Dalam kejadian 7.15 malam itu, 3 lelaki termasuk Ong maut, manakala 5 yang lain cedera akibat ditembak pengawal peribadi yang dilaporkan mungkin menghidap masalah mental.
Cheow berkata, suaminya suka melakukan aktiviti amal untuk membantu golongan kurang bernasib baik.
Katanya, Ong merupakan pengerusi Persatuan Kebajikan Amal CK One yang selalu menganjurkan aktiviti amal untuk membantu orang kurang upaya, anak yatim dan orang berpenyakit.
Sementara itu, Jurukamera RTM, Mohamad Amirul Amin yang cedera ditembak dalam kejadian itu kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan.
Ibunya, Bunisa Mohd Ali, 58, berkata anaknya yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang mulai sedar petang semalam.
“Amirul sudah membuka matanya kira-kira 5 petang (kelmarin) dan bersalam dengan mak cik. Dia juga ada minta air, tetapi dia masih tidak dibenarkan minum,” katanya.
Bunisa berkata, Amirul semakin pulih tetapi mengadu bahagian kiri bahunya yang dibedah itu masih sakit.
“Pihak hospital tidak membenarkan dia bercakap terlalu banyak dan menasihatkan Amirul diberi masa berehat secukupnya,” katanya.
Kejadian itu berlaku di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di mana Ong ditembak di leher dan mati di tempat kejadian.
3 ditembak mati, 3 cedera di Pulau Pinang
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram