Waris MH370 di Madagascar lakukan pencarian sendiri
Mereka mahu mendapatkan bantuan penduduk dan pertubuhan tempatan untuk mencari dan mengumpul serpihan pesawat dengan harapan ia dapat merungkai misteri kejadian
ANTANANARIVO: Semalam ahli keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines yang hilang dan gagal ditemui sejak 2 tahun lalu berharap mereka dapat memujuk kerajaan untuk meluaskan pencarian sepanjang pesisir pantai timur Afrika.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumbang dan anak kapal hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, yang membawa kepada usaha pencarian di selatan Lautan Hindi yang masuk hari ke-1000 semalam.
“Kami mahu bertemu seramai mungkin, terutamanya badan bukan kerajaan, pendakwah, dan gereja yang menganjurkan program bantuan masyarakat,” kata Grace Subathirai Nathan, jurucakap kepada Members of Voice 370, satu kumpulan sokongan untuk waris MH370, selepas tiba di Madagascar.
“Kami boleh jumpa nelayan, penduduk di tepi pantai. Kami harap dapat bangkitkan kesedaran, ajar mereka bagaimana untuk kenalpasti serpihan, bagaimana kumpul serpihan, buat apa dengan serpihan itu bila ia ditemui,” kata Grace.
Kumpulan itu berharap kehadiran mereka akan mendorong kerajaan Malaysia, China dan Australia untuk mengumpul serpihan di sepanjang pantai benua yang menjadi lokasi serpihan ditemui.
Grace, yang kehilangan ibunya dalam penerbangan itu, antara 4 rakyat Malaysia, 2 warga China dan seorang warga Perancis yang terbang ke Madagascar semalam untuk mencari serpihan dan membangkitkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan pertubuhan tempatan.
Tiga serpihan ditemui di pantai Mauritius, Tanzania dan kepulauan Reunion disahkan milik MH370. Penyiasat sedang mengkaji serpihan lain yang ditemui di Mozambique dan Afrika Selatan.
Pencarian dijangka ditunda pada hujung tahun ini, apabila kumpulan yang diketuai Australia menggulung pencarian di kawasan sasaran seluas 120,000 km persegi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kami juga perlu tahu apa yang menimpa pesawat itu dan orang-orang yang kami sayang,” kata Grace kepada pemberita di lapangan terbang berhampiran ibu negara Madagascar, Antananarivo.