Orang Asli sedih satu-satunya senator mereka ‘membisu’
Jaringan Orang Asal dukacita Isa Ab Hamid gagal membela nasib Orang Asli yang cuba menghalang kegiatan pembalakan di tanah adat
GUA MUSANG: Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) dukacita senator sebangsa yang dilantik mewakili kepentingan Orang Asli “membisu” dalam isu pembalakan di Gua Musang.
Timbalan Presiden Zurdi Baharu berkata Isa Ab Hamid gagal membela nasib Orang Asli yang cuba menghalang kegiatan pembalakan di kawasan yang dikatakan tanah adat mereka.
“Saya nak pertikai peranan senator Orang Asli di Parlimen…satu-satunya wakil rakyat yang kita harapkan…tapi sayangnya selama hampir 2 bulan lebih tidak ada sebarang tindakan dilakukan senator kita,” katanya kepada FMT.
Isa dilantik ke Dewan Negara pada 18 April 2016 bagi penggal 2016 hingga 2019. Beliau merupakan bekas pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
“Kita rasa sedih. Apa sebenarnya peranan seorang senator yang dilantik mewakili Orang Asli?” tambah Zurdi.
Semalam FMT melaporkan mengenai rakaman udara yang menunjukkan kadar kemusnahan di sekitar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah.
Minggu lalu seramai 47 Orang Asli diberkas jabatan perhutanan negeri dalam usaha kerajaan Kelantan untuk membuka laluan kepada pembalakan di situ.
Orang Asli yang ditemui FMT mendakwa aktiviti pembalakan menyebabkan kemusnahan sumber kehidupan mereka, serta sejarah asal nenek moyang dan kubur ahli keluarga.
Zurdi dalam masa sama membidas ketidakmampuan Jakoa menangani isu ini.
“Setelah lebih sedekad ditubuhkan kita rasa mereka gagal jalankan amanah menjaga kebajikan Orang Asli,” katanya.
Jumaat lepas Jakoa menyeru Orang Asli yang ditahan supaya kembali ke pangkal jalan kerana mendirikan halangan bagi menyekat kemasukan pembalak berlesen.
Ketua Pengarah Mohd Jamalludin Kasbi berkata Jakoa hanya akan menyokong tuntutan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang.
Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim berkata Orang Asli sudah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 32 Enakmen Perhutanan (Pemakaian) Negeri Kelantan kerana menduduki dan memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran.
“Sekiranya mereka gagal atau tidak mengambil endah isu Orang Asli terutamanya melibatkan isu tanah adat, mungkin patut Jakoa dimansuhkan sahaja,” kata Zurdi.
Oleh itu, Joas mengharapkan campurtangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi untuk menyelesaikan isu tanah adat Orang Asal.
“Sebelum ini pihak pemerintah sedia maklum dimana pada tahun 2011-2012 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menerusi badan penyiasat mereka telah mengemukakan 18 syor bagi menyelesaikan isu tanah adat Orang Asli.
“Sepatutnya pihak kerajaan ambil maklum dan mempercepatkan dalam membuat keputusan supaya Orang Asli diberi tanah secara hitam putih dan termaktub dalam undang-undang Malaysia,” katanya.
NGO bidas BN, PAS ghairah bela Rohingya, tetapi tindas Orang Asli
Wira Perkasa: Kami sanggup berkhemah dengan Orang Asli
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram