Gangguan bekalan air sementara di Hulu Langat, Petaling, KL
Syabas menasihatkan pengguna supaya menggunakan air secara berhemat untuk mempercepatkan tempoh pemulihan.
PETALING JAYA: Pengguna di Hulu Langat, Kuala Lumpur dan Petaling diharapkan sudah menyimpan air yang cukup untuk kegunaan 2 hari sebelum 6 Disember.
Ia susulan gangguan bekalan air sementara mulai 7 Disember ekoran kerja penggantian untuk menaik taraf kelengkapan di loji rawatan air (LRA) bagi menambah baik sistem rawatan dan agihan bekalan air.
Ketua Komunikasi Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berkata kerja menaiktaraf LRA Sungai Langat bermula jam 8.00 pagi 6 Disember sehingga 4.00 pagi 7 Disember.
“Segala usaha akan diambil untuk menyiapkan kerja-kerja ini secepat mungkin,” kata Amin Lim Abdullah kepada FMT. Syabas juga menasihatkan pengguna supaya menggunakan air secara berhemat untuk mempercepatkan tempoh pemulihan.
“Dalam usaha untuk memastikan bekalan air diagihkan dengan lebih efisien setelah selesai kerja menaiktaraf, bekalan air akan diagihkan secara berjadual ke kawasan yang terlibat mengikut zon.”
Jadual pengagihan bekalan air boleh dilayari di laman web Syabas.
Amin menambah bekalan air bantuan akan dihantar melalui lori tangki ke kawasan yang tidak mendapat bekalan di kawasan yang sepatutnya mendapat bekalan air.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Pengguna boleh memohon bekalan air dengan menghantar SMS ke 15300 dengan menaip: TANKER Nama & Alamat.