Rafidah ‘tak percaya’ Dr Mahathir dilarang hadir upacara Agong
Bekas menteri era Dr Mahathir itu berkata ketua pembangkang sekalipun dijemput ke acara rasmi kerajaan.
PETALING JAYA: Tan Sri Rafidah Aziz menyatakan rasa terkejut dengan keputusan menarik balik jemputan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menghadiri majlis lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong yang baharu minggu depan.
“Saya membaca dengan rasa tidak percaya, tetapi malangnya ia berita yang betul,” tulisnya dalam kiriman Facebook.
Rafidah yang pernah berkhidmat di bawah kabinet Dr Mahathir itu berkata bekas perdana menteri itu dianugerahkan darjah tertinggi negara oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Adakah kehadiran mereka dianggap oleh pihak-pihak tertentu akan mencemarkan majlis?” soalnya.
Semalam, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengesahkan menghantar surat kepada Dr Mahahir dan isteri memaklumkan keputusan menarik balik jemputan ke majlis pada 13 Disember di Istana Negara bagi melantik Agong baharu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Surat yang ditandatangani Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad antara lain menjelaskan pembatalan itu kerana pihaknya tidak dapat menyediakan kerusi dan oleh itu tidak mahu membawa “kesipuan” kepada Dr Mahathir sekiranya hadir.
Rafidah berkata yang sebenarnya membawa kepada “kesipuan” dalam sesebuah majlis adalah kehadiran mereka yang “berpalit dan bersalut skandal, rasuah, salah urus tadbir”.
Menurutnya, Dr Mahathir banyak berjasa ketika menerajui kerajaan dan “mengharumkan nama Malaysia dan rakyatnya”.
“Bahkan saya lihat di masa-masa lepas Ketua Pembangkang pun ada tempat dalam acara-acara rasmi kerajaan,” tegasnya.
Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam respon ringkas di blognya hari ini berkata beliau sebelum ini bersetuju memenuhi jemputan itu kerana menganggap ia tidak ada kena mengena dengan politik kepartian.
“Rupa-rupanya acara negara adalah sebahagian dari politik parti,” kata Dr Mahathir menyindir.
PAUTAN:
Jemputan Dr M dan isteri ke majlis lafaz sumpah Agong dibatalkan
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram