Allah tidak cipta dunia hanya untuk orang Islam, kata Dr Mahathir
Bekas erdana menteri itu menekankan keperluan untuk kerjasama dan persefahaman lebih baik di kalangan rakyat berbilang agama.
KUALA LUMPUR: Allah tidak menjadikan dunia hanya untuk orang Islam dan tidak menginginkan semua manusia menjadi orang Islam, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memberi penekanan akan keperluan pemahaman serta kerjasama lebih baik di kalangan penganut pelbagai agama.
“Ia bukan kehendak Allah agar seluruh penduduk dunia menjadi Islam. Jika Allah mahukannya, sudah pasti semua orang akan menjadi orang Islam. Bagi Allah ia mudah, Dia hanya berkata, ‘kun fa ya kun’ dan semuanya akan terjadi mengikut apa yang dimahukan
“Tetapi Allah tidak memberitahu semua orang untuk menjadi Islam. Terdapat mereka yang berbilang kaum dan agama. Semua orang boleh hidup bersama dengan aman dan mesra kepada semua,” katanya kepada pemberita semasa Konvensyen Kebangsaan Amanah 2016, hari ini.
Dr Mahathir berkata, mereka yang berdakwah tentang Islam perlu menggunakan pendekatan sederhana walaupun ramai orang Islam tidak akan bersetuju dengannya kerana kebanyakan cenderung dengan cara ekstremis.
Sebelum itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata parti itu mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, dan rakyat harus menolak sebarang bentuk ekstremisme.
Beliau berkata walaupun Amanah mempunyai kepimpinan yang majoriti beragama Islam, parti itu menggalakkan perpaduan di kalangan semua kaum.
Beliau juga berkata, semua parti politik perlu menjauhkan mentaliti berpuak.
“Apabila kita memilih untuk bersama-sama, kita harus mengelak daripada berfikiran secara berpuak dan jumud, memberikan kepentingan hanya kepada kumpulan sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan.
Beliau menambah yang perjuangan politik parti itu adalah untuk menggalakkan semangat perpaduan di kalangan semua orang.
PAUTAN:
PAS keliru untuk buat pilihan, kata Dr Mahathir
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram