DAP gesa universiti tarik keputusan ‘bersalah’ 4 pelajar
Ahli Parlimen Batu Kawan menyeru rakyat bersama menyokong 4 aktivis siswa yang menjadi mangsa ‘tangan tersembunyi’ untuk menutup mulut mereka daripada terus bersuara.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP menggesa Universiti Malaya (UM) membatalkan keputusan panel tatatertib yang mendapati 4 pelajar bersalah terhadap 4 pertuduhan yang berkaitan dengan perhimpunan awam pada 27 Ogos untuk menahan “Malaysian Official 1 (MO1)”.
“Pelajar boleh mengamalkan pemikiran kritis dan membuat keputusan untuk diri mereka sendiri,” kata Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto dalam satu kenyataan. “Mereka tahu apa yang betul dan salah.”
Beliau menggesa orang ramai menandatangani petisyen dalam talian kepada Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin, mengenai perkara itu.
Patto menyeru rakyat bersama dengan solidariti bersama pelajar “yang menjadi mangsa pihak yang paranoid, institusi pengecut yang memilih menutup suara perbezaan pendapat”.
Beliau berkata UM tidak mempunyai hak melarang pelajar daripada menyertai perhimpunan awam atau kebebasan untuk meluahkan perasaan mereka.
Beliau percaya 3 panel, Prof Madya Nahrizul Adib Kadri, Prof Azizah Hamzah dan Prof Mohd Suffian Mohd Annuar, membawa penghinaan kepada UM dengan membenarkan “tangan tersembunyi terlibat dalam sabitan 4 pelajar itu”.
Empat pelajar berkenaan – Anis Syafiqah, Mohamad Luqman Nul Haqim, Muhammad Luqman Hakim dan Suhail Wan Azahar – didapati bersalah kerana didakwa “bertindak dengan cara menjejaskan dan memudaratkan kepentingan dan reputasi baik Universiti Malaya”.
Patto berkata 4 pelajar bersuara agar masyarakat awam menggesa kerajaan “menangkap MO1 yang terbabit dalam skandal rasuah global amat besar”.
Jika Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi di negara ini, memperuntukkan kebebasan untuk bersuara dan berhimpun, kata Patto, “sebuah institut pengajian tinggi tidak boleh bercanggah dengan semangat Perlembagaan”.
Keputusan ahli panel jelas bercanggah dengan Perkara 10 (a) Perlembagaan Persekutuan, katanya. “Ia menyediakan untuk kebebasan bercakap dan bersuara.”
Perkara 10 (b) melindungi kebebasan untuk berhimpun secara aman.
PAUTAN:
Semester akhir saya di UM mungkin terbatal, kata Anis
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram