Fokus lawan BN, bukan rebut Permatang Pauh, kata PKR pada PAS
Nurul Izzah Anwar berkata PAS perlu memikirkan semula hasratnya untuk bertanding di Permatang Pauh bagi mengelak berlakunya kekeliruan kepada pengundi.
SHAH ALAM: PKR hari ini menasihati sekutunya PAS supaya mengkaji semula hasrat mereka untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya akan datang.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata parti Islam itu sepatutnya menghalakan fokus mereka menentang Barisan Nasional (BN) bukannya membincangkan soal bertanding di kerusi PKR di Permatang Pauh kerana ia akan mengelirukan rakyat.
“Saya rasa dia (PAS) patut fikirkan semula keputusan dan fokus berlawan BN kerana pengundi akan keliru dengan tindakan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Konvensyen Amanah di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.
Terdahulu, PAS Permatang Pauh mengumumkan untuk bertanding di kawasan Parlimen itu dan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu pada dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) melibatkan 3 DUN iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.
Ketua Penerangan PAS Permatang Pauh Jamsari Samad berkata umum mengetahui kerusi untuk ketiga-tiga DUN dan Parlimen Permatang Pauh dimiliki PAS, namun atas semangat toleransi parti Islam Itu memberi keizinan kepada PKR untuk meletakkan calon.
Pendirian PAS itu susulan kenyataan Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang berkata parti itu berminat untuk bertanding berikutan kerusi DUN Pengkalan Pasir yang dimiliki PAS.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Kerusi Parlimen Permatang Pauh kini dipegang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi hukuman penjara selama 5 tahun.