Surat palsu untuk jejas hubungan PM, TPM, kata Ku Nan
Menteri Wilayah Persekutuan yakin tindakan penyebar surat palsu itu tidak akan memberi kesan kepada Umno.
PETALING JAYA: Surat yang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dan ditandatangani timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah palsu, kata menteri Umno.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang juga dikenali sebagai Ku Nan, berkata gambar surat palsu yang tersebar di media sosial disebarkan mereka yang bertujuan untuk menimbulkan perselisihan di antara 2 pemimpin tertinggi negara, lapor New Straits Times.
“Mungkin ada pihak yang tidak selesa dengan hubungan rapat antara perdana menteri dan timbalan perdana menteri,” kata Ku Nan, yang juga setiausaha agung Umno.
“Jadi, mereka keluar dengan segala macam fitnah untuk memisahkan mereka. Tetapi kedua-dua pemimpin itu tidak mempunyai masalah (antara satu sama lain).
“Oleh itu, saya menyeru kepada mereka yang menyebarkan surat palsu agar berhenti berbuat demikian, kerana ia tidak akan memberi kesan kepada Umno,” beliau dipetik sebagai berkata dalam akhbar harian itu.
Semua surat palsu, diedarkan melalui WhatsApp dan Facebook, didakwa ditulis dan ditandatangani Zahid sendiri.
Ia juga menyenaraikan ahli Kabinet baru di bawah pentadbiran Zahid.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dinamakan sebagai timbalan perdana menteri baru, manakala Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz dilantik sebagai menteri dalam negeri.
Bagaimanapun, menurut Ku Nan, semua ahli Umno sudah berikrar memberi kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Najib.
“Datuk Seri adalah pemimpin yang baik, sanggup mendengar, menyelesaikan isu rakyat dan membuat penambahbaikan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Malah, beliau rela menerima pemimpin kita sebelum ini yang melakukan kesilapan.”