Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

AUKU: Pelajar dulu tak cemerlang, tak boleh berdemo, kata Dr M

 | December 22, 2016

Bekas perdana menteri berkata situasi sekarang berbeza apabila terdapat pelbagai kelemahan dalam sistem pemerintahan yang memaksa pelajar bangkit bersuara menentang pentadbiran kerajaan.

mahathir-demo-1

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamed berkata pelajar universiti tidak dibenarkan menyertai sebarang bantahan menentang kerajaan ketika zaman pemerintahannya kerana ramai antara mereka yang tidak cemerlang dalam pelajaran.

Sehubungan itu, katanya pada zaman pemerintahannya pelajar perlu menumpukan perhatian kepada pelajaran, bukan berdemonstrasi.

Apatah lagi, katanya ketika beliau menjadi menteri pelajaran dan kemudiannya sebagai perdana menteri, pihak berkuasa dalam negara bebas dan berfungsi dengan baik.

Katanya, ketika beliau menjawat jawatan menteri pelajaran pada 1970-an, kebanyakan pelajar Melayu yang melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi mendapat tajaan pembelajaran.

“Dulu ramai pelajar tidak cemerlang dalam pelajaran, sebab itu mereka perlu menumpukan kepada pelajaran bukannya berdemonstrasi.

“Pada waktu itu jika mereka mahu berdemo, lakukannya selepas tamat pengajian apabila tidak lagi ditaja sesiapa,” katanya pada forum Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 di pejabat Malaysiakini malam ini.

Forum anjuran pertubuhan pelajar, Challenger itu turut disertai aktivis siswa Anis Syafiqah Md Yusof yang digantung pengajiannya satu semester oleh Universiti Malaya (UM) pada 15 Disember lalu.

Anis yang terlibat sebagai penganjur himpunan #TangkapMO1 pada Ogos lalu juga diberi amaran dan didenda RM400.

Dr Mahathir sebelum ini mengakui beliau yang memperkenalkan AUKU ketika menjadi menteri pelajaran pada 1971.

Sejak akta itu diperkenalkan, banyak pihak terutama mahasiswa mendesak akta itu dimansuhkan bagi memberi ruang kebebasan bersuara kepada pelajar.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu berkata situasi pada masa ini berbeza kerana terlalu banyak kelemahan dalam sistem pemerintahan sehingga memaksa pelajar mengadakan bantahan.

Katanya, dulu pihak berkuasa seperti polis dan Parlimen merupakan badan yang bebas, sekarang sebaliknya berlaku apabila ia tidak boleh lagi dipercayai.

“Sekarang ini semua saluran bersuara sudah ditutup, yang ada adalah dengan cara berdemonstrasi. Jadi sebab itu saya sokong, dan dalam Bersih juga saya mengambil bahagian.

“Sekarang ini keutamaan ialah menukar kerajaan,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments