Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pergerakan pengguna: Gantung lesen bas bukan langkah bijak

 | December 25, 2016

Pergerakan Pengguna Malaysia berpendapat, menggantung lesen syarikat bas itu bukan penyelesaian terbaik.

Darshan-Singh-Dhillon_bus_600

PETALING JAYA: Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM) menggesa pihak berkuasa membenarkan syarikat bas yang terbabit dalam kemalangan maut meragut 14 nyawa di Johor, semalam, terus beroperasi walaupun ia mempunyai 8 saman tertunggak.

“Menggantung lesen operasi syarikat bas tanpa penemuan kukuh kesalahan sebenar mungkin bukan langkah bijak.

“Ia mungkin membawa kepada kesusahan tidak diingini kepada pengusaha dan mereka yang berkaitan akan menderita. Penyelesaian holistik diperlukan,” kata Presiden MCM, Darshan Singh Dhillon dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung lesen Goldstar Express (M) Sdn Bhd, semalam, susulan kemalangan muat di KM137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat kawasan Rehat dan Rawat Pagoh.

Pemandu bas itu adalah antara 14 orang yang terbunuh dalam nahas itu, selain 16 lagi cedera.

Semua bas di bawah kendalian Goldstar Express juga tidak dibenarkan beroperasi sementara menunggu siasatan selesai.

Darshan berkata, ia memerlukan kesungguhan politik lebih kuat bagi memastikan perubahan sebenar berlaku untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Katanya, MCM memberi beberapa cadangan. Pertama, mewujudkan senarai daftar pemandu kenderaan perdagangan yang dibenarkan.

“Semua rekod pemandu kenderaan perdagangan, termasuk kesalahan jenayah dan trafik, tahap kesihatan dan kecergasan perlu dikemas kini serta dikesan secara kerap dan perlu tetapkan batas, jika melanggarnya, mereka berdepan penolakan, penggantungan atau pembatalan permit memandu.”

MCM turut menggesa pihak berkuasa mengkehendaki pengusaha melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas pemandu sebelum mengambil mereka bekerja.

“Perlu ada mekanisme untuk membolehkan pengusaha mendapat senarai daftar pemandu yang dibenarkan supaya kajian semula dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan.”

Darshan berkata, pengusaha juga perlu mengutamakan kebajikan pemandu yang sering tertarik kepada gaji lebih tinggi dengan memaksa diri melangkau kemampuan dan membahayakan keselamatan penumpang.

Katanya, pemandu tidak harus dibenarkan memandu melebihi 4 jam tanpa rehat.

“Kami nasihatkan tukar pemandu lain selepas setiap 6 jam memandu. Peranti GPS boleh dipasang untuk membantu aktiviti pemantauan dan memaklumkan terus kepada pengusaha.”

MCM juga menasihatkan pihak berkuasa mengambil langkah bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan.

“Jadikan ia wajib dan kuatkuasakan keperluan menggunakan tali pinggang keledar dalam kenderaan perdagangan berat, khasnya bas dan memasang alat pengehad kelajuan untuk mengatasi isu memandu melebihi had laju bagi kenderaan perdagangan berat dengan berkesan.”

MCM berkata, penumpang juga perlu diberikan satu platform untuk membuat aduan mengenai pemandu dan syarikat pengusaha.

“Isu perlu dianalisis dengan cepat dan hasilnya perlu dikongsi dengan pengadu dan pengusaha.”

MCM juga mencadangkan insentif cukai dan relif lain untuk menjadikan keselamatan lebih menjimatkan bagi pengusaha.

“Ini termasuk penggantian komponen seperti tayar, pemasangan sistem GPS dan peralatan keselamatan lain.”

MCM berkata, persaingan sihat di kalangan pengusaha dan mengelakkan kawalan harga mampu menyingkirkan pengusaha tidak bertanggungjawab.

Darshan berkata, pengguna juga perlu bertanggungjawab dengan melaporkan kes melalui pelbagai saluran, termasuk media sosial.

“Kebanyakan orang memilih mendiamkan diri walaupun menyaksikan kesalahan serius. Tindakan kecil mampu menyelamatkan nyawa seseorang.”

MCM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga 14 mangsa korban dalam nahas bas di Muar, semalam.

SPAD gantung lesen syarikat bas ekspres ragut 14 nyawa

14 maut, 16 cedera dalam kemalangan bas ekspres


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments