Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pemandu bas ekspres perlu latihan ala juruterbang

 | December 28, 2016

Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata institusi khas untuk bas ekspres perlu diwujudkan bagi meningkatkan tahap pengangkutan awam itu.

Datuk-Abdul-Aziz-Kaprawi

PETALING JAYA: Timbalan menteri pengangkutan mencadangkan supaya pemandu bas ekspres diberikan latihan secukupnya, seperti juruterbang supaya mereka berdisiplin, berhemah dan lebih profesional.

Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata selaras dengan saranan itu, sebuah institusi khas untuk kenderaan awam termasuk bas ekspres perlu diwujudkan bertujuan menaik taraf kerjaya pemandu bas ekspres.

Katanya, jika kadar gaji pemandu bas hendak dinaikkan, mereka juga perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan latihan untuk jadi lebih berdisiplin dan profesional.

“Dengan itu, kerajaan perlu mewujudkan badan atau institusi bas ekspres. Ini perlu, macam nak jadi juruterbang, mereka ada institusi yang dikawal rapi kerajaan.

“Ini penting kerana ia melibatkan kepentingan awam. Pemandu bas tanggungjawabnya besar kerana membawa penumpang yang ramai sehingga 40 orang dalam satu bas,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya pemandu bas dibayar gaji lebih tinggi untuk menamatkan sistem komisen yang dibayar mengikut bilangan perjalanan.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar juga menggesa kerajaan memperkenalkan kadar lebih fleksibel bagi tambang bas ekspres.

Kerajaan pada Mac tahun lalu mencadangkan kenaikan tambang bas ekspres, tetapi ditangguhkan berikutan kritikan orang ramai. Semakan terakhir tambang bas ekspres pada 2009.

Aziz berkata transformasi perlu dilakukan kepada pengangkutan bas ekspres dan garis panduan baharu perlu diwujudkan.

“Kita tidak mahu, mereka hendak naikkan tambang bas ekspres, tetapi tidak meningkatkan tahap mutu penyelenggaraan kerana banyak bas yang masih tidak diselenggarakan mengikut piawaian standard antarabangsa.

“Jadi nak naikkan tambang itu boleh, tetapi mesti ikut piawaian supaya macam juruterbang. Nak jadi juruterbang mesti ada kelulusan mengikut latihan diberikan.

“Pemandu bas perlu dinaik taraf dan Jabatan Pengangkutan Jalan sebagai badan bertanggungjawab perlu pastikan piawaian itu,” katanya.

Aziz berkata antara sebab pemandu bas terpaksa kejar “trip” ialah kerana syarikat bas ekspres menghadapi masalah kekurangan pemandu sehingga pemandu dipaksa bekerja lebih masa bagi menampung permintaan.

“Apa yang berlaku sebenarnya kekurangan pemandu menyebabkan syarikat memaksa pemandu kerja lebih masa. Di Malaysia kita kekurangan pemandu bas kerana gaji yang tidak menarik minat masyarakat.

“Oleh itu, kerajaan perlu wujudkan institusi yang menjadikan pemandu bas satu kerjaya menarik kepada golongan muda,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments