Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Rutin pemandu bas ekspres: Tidur dalam bas, makan roti kejar ‘trip’

 | December 28, 2016

Pemandu bas ekspres turut mendesak SPAD menyelaraskan semua syarikat bas supaya mengehadkan hanya 2 “trip” sehari dan memberikan mereka gaji, bukan komisen.

pemandu-bas

KUALA LUMPUR: Isu pemandu bas mengejar “trip” perjalanan sehingga menjadi salah satu punca kemalangan membabitkan bas ekspres diakui sendiri beberapa pemandu bas yang ditemui FMT.

Dalam tinjauan di Hentian Bas Jalan Duta semalam, kebanyakan pemandu bas ekspres berkata mereka tertekan apabila terpaksa mengejar 3 “trip” sehari sehingga terpaksa tidur di dalam bas dan hanya makan roti untuk mengalas perut.

Pemandu bas ekspres, Ali Kassim, 53, berkata dalam sehari beliau terpaksa mengejar 3 “trip” perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur dan patah balik sebanyak 3 kali.

“Kami diberi masa misalnya dari Sungai Petani bertolak jam 9.30 pagi dan mesti sampai ke Kuala Lumpur jam 4 petang. Kadang-kala tekanan yang kami hadapi ialah terpaksa mengharungi jalan sesak dan hujan menyebabkan sampai lewat.

“Ada juga penumpang yang menghubungi bertanya jika kami sampai lambat. Sedangkan kami memang tidak boleh memandu laju dan adakala kena saman pula hanya kerana mahu tiba tepat pada waktu,” katanya kepada FMT.

Ali berkata beliau juga setuju salah satu punca kemalangan jalan raya yang melibatkan bas ekspres ialah akibat daripada pemandu terpaksa mengejar “trip”.

Dalam kemalangan yang berlaku pada jam 4 pagi menjelang sambutan Krismas minggu lalu, 14 penumpang dan pemandu terbunuh sementara 16 lagi cedera selepas bas ekspres yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur terjunam ke dalam gaung 10 meter berhampiran Pagoh.

Katanya, majikannya juga membayar gaji pemandu berdasarkan kepada “trip” harian dengan bayaran RM33 bagi satu perjalanan.

“Dalam setiap perjalanan, 2 pemandu disediakan. Cuti kerja tidak menentu, kadangkala kami terpaksa kerja 4 hingga 5 hari, baru dapat pulang ke rumah.

“Jika sampai lewat ke destinasi, kami hanya makan roti untuk menahan lapar. Tidur dalam bas. Syarikat pula kadangkala tidak peduli jika kami sakit, alasan mereka pemandu tidak cukup,” katanya yang sudah 32 tahun bekerja sebagai pemandu bas.

Seorang lagi pemandu bas ekspres, Mohd Nor Sazali Ahamad, 52, berkata jumlah mereka yang berminat menjadi pemandu juga semakin berkurangan kerana tidak tahan dengan tekanan.

“Ramai yang berhenti kerja sebab tidak tahan dengan tekanan dan gaji yang tidak setimpal,” katanya.

Sazali yang sudah 30 tahun menjadi pemandu bas ekspres meminta kerajaan atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyelaraskan semua syarikat bas ekspres supaya mengehadkan 2 “trip” sehari.

Katanya, ini salah satu cara untuk mengurangkan kemalangan jalan raya yang melibatkan bas ekspres.

Gaji tinggi untuk pemandu bas

Sazali berkata beliau setuju dengan cadangan memberikan gaji pemandu bas lebih tinggi untuk menamatkan sistem komisen yang dibayar mengikut bilangan perjalanan.

“Saya setuju sangat jika gaji dinaikkan dan ini dapat mengurangkan tekanan pemandu bas ekspres,” katanya.

SPAD sebelum ini menggesa pemandu bas dibayar gaji lebih tinggi untuk menamatkan sistem komisen yang dibayar mengikut bilangan perjalanan.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar menggesa kerajaan memperkenalkan kadar lebih fleksibel bagi tambang bas ekspres.

Kerajaan pada Mac tahun lalu mencadangkan kenaikan tambang bas ekspres, tetapi ditangguhkan berikutan kritikan orang ramai. Semakan terakhir tambang bas ekspres ialah pada 2009.

Harga tiket bas ekspres masih kekal pada harga lama iaitu seperti laluan Kuala Lumpur ke Kangar ialah RM50.10, Kuala Lumpur ke Kota Bharu (RM44.20), Kuala Lumpur ke Pulau Pinang (RM38.50), Kuala Lumpur ke Johor Bahru (RM35) dan Kuala Lumpur ke Kuantan ialah (RM24.10).

Izzat Rahman, 50, yang juga pemandu bas ekspres berkata beliau juga setuju gaji pemandu bas dinaikkan dan kerajaan perlu memperkenalkan kadar lebih fleksibel bagi tambang bas ekspres.

“Tambang bas ekspres yang dinaikkan juga dapat menampung kos pengusaha untuk bayar gaji pekerja,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments