Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kos operasi naik, untung hanya cukup makan, keluh pengusaha taska

 | January 4, 2017

Pengusaha taska mencadangkan kerajaan memberi geran penyelenggaraan bagi menambah baik kemudahan asas yang disediakan untuk kanak-kanak.

taskaSERI KEMBANGAN: Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) mengalu-alukan kenaikan yuran 20% hingga 50% mulai tahun ini seperti diumumkan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Isnin lalu.

Presidennya, Datin PH Wong memaklumkan kenaikan itu penting bagi menampung peningkatan kos operasi memandangkan setiap pekerja baharu perlu dibayar RM1,000 mengikut Perintah Gaji Minimum 2016 yang dikuatkuasakan sejak 1 Julai 2016, selain pekerja lama juga perlu dinaikkan gaji.

Ini diakui pengusaha Taska Universal Magika, Fadzilah Mohd Yusof semasa ditemui FMT.

Menurut beliau, peningkatan kos operasi seperti bil utiliti, sewa bangunan dan gaji pekerja amat membebankan hingga menjejaskan keuntungan.

“Operasi masa ini ‘ngam-ngam’ tetapi kami tidak berkira. Kalau nak ikut kos sebenar memang tidak cukup. Tetapi kita tetap berikan terbaik dengan makanan yang berhasiat dan sesuai untuk kanak-kanak di sini.

“Harga biasanya bergantung kepada kawasan dan kemudahan disediakan taska. Di sini, kami mengenakan yuran di RM350 hingga RM380 untuk seorang kanak-kanak dan terpaksa menyediakan keperluan mereka daripada A hingga Z,” katanya.

Selain itu, Fadzilah mencadangkan kerajaan memberi geran penyelenggaraan kepada pengusaha taska bagi menambah baik perkhidmatan mereka.

“Sekiranya kita nak keluarkan semua modal sendiri seperti cat bangunan dan betulkan barang-barang di taska yang sudah lama, memang tidak mampu.

“Dengan geran penyelenggaraan itu dapat meningkatkan keselesaan kanak-kanak,” katanya.

Seorang lagi pengusaha taska al-Fath, Munnah Redza berkata kenaikan yuran itu perlu ditetapkan kerajaan agar tiada pengusaha menaikkan yuran sesuka hati kerana ia akan menyebabkan ibu bapa berhenti menghantar anak ke taska.

“Memang elok kalau dapat dinaikkan kerana kos sekarang meningkat terutama bahan mentah. Sewa (taska) saya dalam RM1,200 manakala yuran kanak-kanak (bawah 12 bulan) RM380 dan tidak boleh naikkan lagi sebab ibu bapa akan lari. Bagi kanak-kanak berusia 1 hingga 4 tahun, yurannya RM350. Ia adalah harga purata di kebanyakan taska di Selangor,” katanya.

Kenaikan yuran perlu dipantau

Walaupun menyedari kenaikan bakal memberi kesan kepada perbelanjaan keluarga, Fatimah Husna Razalee terpaksa akur.

Namun, beliau berharap ia selari dengan kemudahan yang disediakan taska terbabit.

“Perlu lihat kenapa harga begitu. Apakah kemudahan seperti pengangkutan disediakan dan paling penting, adakah dia berbaloi. Jika berbaloi, tidak mengapa.

“Ibu bapa biasanya akan memastikan taska dipilih untuk anak mereka itu bagus dan selamat. Kalau seimbang dengan harga tiada masalah,” katanya,

Fatimah yang bekerja sebagai eksekutif di Selangor berkata buat masa ini harga RM300 hingga RM500 masih normal dan mampu dibayar ibu bapa yang bekerja.

“Bukan murah tetapi masih mampu untuk dibayar lagi. Ini kerana taska mempunyai pengasuh, dan terdapat aktiviti berfaedah disediakan. Anak-anak juga dapat membesar dengan baik bersama rakan,” katanya.

Seorang lagi ibu, Humaira Ahmad berkata jika kenaikan yuran dinaikkan antara RM400 hingga RM500 bagi seorang anak mungkin tiada masalah tetapi sebaliknya bagi ibu bapa dengan anak yang ramai.

Namun untuk 2 atau 3 orang anak, beliau tidak mampu dan berkata lebih berbaloi mengupah orang gaji.

“Memang membebankan bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak yang dijaga di taska. Bagi saya, lebih berbaloi mengupah orang gaji berbanding menghantar 2 atau 3 orang anak ke taska. Kerajaan perlu kaji dan memberikan harga seimbang sebelum memutuskan kenaikan yuran di taska,” katanya.

 

Persatuan pengasuh: Yuran taska naik 20%-50% kerana kos tinggi


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments