Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

KSU kementerian, 2 anak lelaki direman 7 hari

 | January 5, 2017

Suspek bersama 2 anak lelakinya yang berusia 34 dan 29 tahun direman SPRM setelah mendapat perintah mahkamah.

VIDEO INSIDE

KSUPUTRAJAYA: Ketua setiausaha (KSU) kementerian bersama 2 anak lelakinya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, direman selama seminggu selepas memperoleh perintah mahkamah, hari ini.

Penahanan reman itu bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Majistret Mahkamah Putrajaya Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan suspek bergelar “Datuk” yang berusia 59 tahun itu ditahan reman selama seminggu bermula hari ini sehingga 11 Januari.

Kedua-dua anak lelaki suspek berusia 34 dan 29 tahun.

Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 117 Tatacara Jenayah.

Sementara itu, menurut Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib, siasatan kes terhadap ketiga-tiga individu itu dijalankan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Mereka tiba di Mahkamah Putrajaya kira-kira jam 9.40 pagi dengan berpakaian baju lokap berwarna jingga diiringi pegawai SPRM.

Semalam, negara dikejutkan dengan penahanan KSU terbabit di kediamannya di USJ, Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki, “Datuk” berkenaan ditahan bersama anak lelaki berusia 29 tahun pada jam 8 pagi dan dibawa ke Putrajaya untuk disiasat.

“Lelaki berusia 29 tahun dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit,” katanya.

Kata Azam, SPRM turut merampas jongkong emas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai kita-kira RM3 juta.

SPRM tahan KSU, rampas RM3 juta jongkong emas, wang tunai


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments