Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Hampir 200 ahli Umno Pulau Pinang lompat ke PPBM

 | January 8, 2017

Ahmad Shamsudin yang merupakan ahli Umno hampir 5 dekad berkata, penduduk kampung kecewa dan hilang kepercayaan terhadap parti itu.

marzukiBUTTERWORTH: Kenaikan kos sara hidup dan tindakan beberapa bekas pemimpin Umno menubuhkan parti baharu adalah punca kira-kira 200 penduduk Kampung Tok Sani di Pulau Pinang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ahmad Shamsudin yang merupakan ahli Umno hampir 5 dekad berkata, penduduk kampung kecewa dan hilang kepercayaan terhadap parti itu.

“Kos sara hidup naik. Nilai ringgit merosot. Keadaan semakin sukar bagi orang kampung seperti kami.

“Kami rasa kami tiada sesiapa untuk mengadu, macam tak ada orang yang peduli. Ketika lihat insiden yang berlaku dalam Umno, kami berkumpul dan berbincang. Kami putuskan tak salah cuba sertai PPBM,” katanya kepada FMT.

Ahmad mewakili jirannya menyerahkan 111 borang keahlian kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Marzuki Yahaya di kampung itu, hari ini. Ini adalah tambahan kepada kira-kira 80 borang keahlian yang sudah dihantar penduduk kampung itu kepada PPBM.

Ahmad berkata, penduduk kampung tidak pernah dipujuk menyertai parti itu kerana PPBM tidak menghantar wakilnya ke kampung terbabit untuk merekrut ahli.

“Kami hanya percaya PPBM adalah parti yang kita boleh harapkan. Sudah tentu, ada faktor Tun Dr Mahathir Mohamad juga,” katanya merujuk pengerusi PPBM yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini.

“Kami turut mempertimbangkan apa yang berlaku dalam Umno, beberapa pemimpin mempersoalkan pucuk pimpinan parti terhadap dakwaan salah laku. Mereka berjuang dan meninggalkan Umno,” katanya yang menyifatkan apa yang berlaku dalam PPBM sebagai “perkara kecil”.

Bekas ahli PAS berusia 42 tahun, Mohd Azmi Saad, turut menyerahkan permohonan keahlian seumur hidupnya hari ini kerana percaya semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, perlu bersatu seperti diperjuangkan Dr Mahathir.

PPBM yang baru berusia 4 bulan dilanda beberapa isu, termasuk ura-ura wujud 2 puak dalam parti itu yang masing-masing menyokong Dr Mahathir dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bagaimanapun, mereka berdua menafikan dakwaan itu.

Selain itu, Muhyiddin turut didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang dan ahli pengasas PPBM, Anina Saadudin didakwa terbabit dalam skandal mesej seks sehingga menyebabkan beliau kehilangan jawatan ketua wanita yang juga dikenali sebagai Srikandi.

Anina yang masih merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkata, jika Dr Mahathir ialah presiden dan bukannya pengerusi PPBM, beliau akan kekal sebagai ketua wanita.

Marzuki yang merupakan bekas ketua Umno bahagian di Pulau Pinang berkata, isu Anina tidak memberi kesan kepada PPBM dan ia sekadar salah faham yang sudah ditangani pucuk pimpinan.

Katanya, isu atau dakwaan yang dilemparkan itu juga tidak menghalang rakyat menyertai PPBM.

“Kita boleh kata 100% penduduk kampung ini yang ingin menyertai kami ialah ahli Umno. Mereka kecewa dengan kepimpinan Umno,” katanya sambil menambah kira-kira 7,000 daripada 10,000 borang keahlian yang diedarkan di Pulau Pinang, sudah diisi dan dikembalikan untuk pertimbangan.

“Kami akan semak permohonan itu. Kami mahu pastikan ahli baru tidak menimbulkan masalah dalaman.”

Marzuki berkata, PPBM Pulau Pinang akan dilancarkan pada 14 Januari ini dengan beberapa bahagian dibentuk selepas itu.

“Bahagian Bagan adalah yang pertama disahkan. Baki 13 bahagian akan menyusul.

“Kami sudah mengenal pasti pemimpin untuk setiap bahagian. Nama mereka sedang dipertimbangkan,” katanya sambil menambah persediaan Pilihan Raya Umum ke-14 sedang dilakukan dan kerusi yang akan ditandingi di Pulau Pinang sudah dikenal pasti dan sedang dibincangkan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments