Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Apa istimewanya kapal selam China ‘berehat’ di Malaysia?

 | January 13, 2017

Seorang penganalisis pertahanan berkata banyak negara masih belum selesa dengan kuasa China, tidak seperti kuasa barat yang hegemoninya sudah biasa dilihat.

lam-choong-wa_china_kapal-selam_600

PETALING JAYA: Atur gerak kapal selam adalah perkara biasa dan pernah dilakukan beberapa kuasa barat, kata pakar pertahanan, mengulas 2 kapal selam tempur dari China yang “berehat” di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Lam Choong Wah, penyelidik kanan Institut Kajian Kemajuan Sosial (Refsa) berkata, perkara sama pernah dilakukan kuasa barat lain, contohnya Britain dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Lam berkata kapal selam China di Lautan Hindi lebih mudah mencetuskan kebimbangan, tidak seperti kapal selam kuasa barat.

Menurutnya, ini kerana negara serantau seperti India, yang bimbang dengan kebangkitan China, sudah lama menerima hakikat hegemoni dan monopoli kuasa barat di rantau tersebut.

“Tetapi mereka belum menyesuaikan diri untuk menerima pemain baru iaitu China.”

Minggu lalu, beberapa media antarabangsa melaporkan ketibaan 2 buah kapal selam tempur milik China di Kota Kinabalu, mengaitkannya dengan peluasan kuasa China di rantau ini.

Ia berlaku di sebalik ketegangan di Laut China Selatan melibatkan tuntutan ke atas kepulauan Spratly.

Menurut Tentera Laut Diraja Malaysia, lawatan kapal selam CNS Chang Xing Dao dan CNS Chang Cheng itu merupakan “lawatan diplomasi” tentera China, yang berehat di Sabah selepas melakukan pemantauan lanun di perairan Somalia.

Bagaimanapun, New Delhi Television (NDTV) memetik pihak tentera India yang mempersoalkan alasan kapal selam itu berlabuh bagi “berehat dan mendapat bekalan”.

Menurutnya, aset ketenteraan yang canggih seperti kapal selam bukan sesuatu yang sesuai digunakan bagi melawan lanun Somalia, yang biasanya hanya melibatkan “pertempuran kecil”.

Intip mengintip perkara biasa

Lam berkata sebuah kapal selam digunakan bagi mengumpul maklumat hidrografi (pemetaan laut), dan bukan mengintip kapal selam milik India.

“Dalam peperangan bawah muka air, maklumat hidrografi adalah kunci utama,” katanya.

Lam bagaimanapun tidak menafikan ada kemungkinan kapal selam China mengintip kapal selam India dan negara lain, tetapi ia sesuatu yang dilakukan semua kuasa tentera.

“Ini ditunjukkan oleh pesawat P-8A Amerika Syarikat mengintip operasi kapal selam disyaki milik China di Lautan Hindi pada Januari 2017,” katanya.

Lam bagaimanapun tidak menganggap ketibaan kapal selam China di perairan Malaysia sebagai petanda perubahan kuasa di Asia Tenggara.

“Ketibaan kapal selam di Kota Kinabalu mencerminkan hubungan antara Malaysia dan China bertambah baik kerana kapal selam dikira aset strategik dan kebanyakan masa hanya bersinggah di negara mesra,” tambahnya.

Kapal selam tempur China ‘berehat’ di Sabah cetus tanda tanya


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments