China: Isunya kedaulatan, bukan perkauman, kata Amanah
Raja Bahrin berkata, pemilikan aset dan harta strategik negara oleh China amat membimbangkan kerana ia mampu menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.
PETALING JAYA: Amanah hari ini menganggap kritikan terhadap kebanjiran pelaburan dari China disebabkan rasa prihatin mengenai kedaulatan Malaysia dan tidak ada kaitan dengan sentimen perkauman.
Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pemilikan aset dan harta strategik negara oleh China amat membimbangkan kerana ia mampu menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.
“Kami menganggap isu negara China ialah isu kebergantungan dan monopoli keterlaluan yang berbahaya dan bukan isu perkauman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke China pada November lalu menyaksikan perjanjian bernilai RM143.64 bilion dimeterai, termasuk usaha sama Malaysia dengan Beijing untuk projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang dijangka menelan kos RM55 bilion, Melaka Getaway dan Bandar Malaysia di Johor.
Pada 13 Januari lalu, Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia tidak akan menerima nasib sama dengan Sri Lanka yang terpaksa memajak aset penting mereka kepada China.
Sri Lanka memajak Pelabuhan Hambantota dan tanah seluas 15,000 ekar di sekitarnya selama 99 tahun kepada sebuah syarikat yang 80% pegangannya dimiliki kerajaan China, akibat gagal membayar hutang RM4.9 bilion (AS$1.1 bilion) bagi projek Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa di negara itu.
Dalam pada itu, Raja Bahrin meminta Putrajaya bertindak adil dengan membela nasib umat Islam di China seperti mana Malaysia lantang membidas kezaliman Myanmar ke atas umat Islam Rohingya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Jangan kita menuntut Myanmar berlaku adil ke atas Rohingya, sementara China menyeksa rakyat etnik Uighur tidak ditegur langsung.”