‘Kapcai’ dibenarkan sehingga projek pengangkutan siap
Datuk bandar KL berkata, larangan kenderaan berat memasuki ibu kota tidak boleh dilaksanakan sepenuhnya bagi mengurangkan pelepasan karbon.
KUALA LUMPUR: Datuk bandar Kuala Lumpur memberi jaminan tidak akan melarang motosikal berkuasa rendah atau “kapcai” memasuki ibu kota dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon, buat masa ini.
Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, cadangan melarang “kapcai” memasuki Kuala Lumpur hanya akan dikaji semula selepas semua projek pengangkutan awam di ibu negara siap.
“Buat masa ini, ia tidak akan dilaksanakan kerana memerlukan perbincangan dengan pelbagai pihak dan satu kajian sama ada ia sesuai mengharamkan ‘kapcai’,” katanya di ibu pejabat DBKL, hari ini.
Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga tidak berhasrat melaksanakan larangan penuh ke atas kenderaan berat memasuki ibu kota kerana larangan separa sudah dilaksanakan sekarang.
“Kenderaan berat tidak dibenarkan memasuki ibu kota ketika waktu puncak dari 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi dan 4.30 petang sehingga 7.30 malam,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkata, kenderaan besar lebih banyak daripada “kapcai” atau motosikal kecil di Kuala Lumpur.
“Jadi, kenapa melarang kenderaan kecil dan bukannya kenderaan besar?” soalnya mengulas cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melarang kemasukan motosikal kecil ke Kuala Lumpur bagi mengurangkan pelepasan karbon.
Semalam, Tengku Adnan dilaporkan berkata, kementeriannya sedang mengkaji kemungkinan melarang motosikal kecil atau “kapcai” memasuki Kuala Lumpur, apabila rakyat boleh mendapatkan pengangkutan awam pada harga berpatutan.
Katanya, inisiatif itu digunakan di “banyak bandar” bagi mengurangkan pelepasan karbon.
Beliau berkata, kementeriannya juga mungkin melarang kereta dipandu masuk ke ibu kota memandangkan keadaan sesak di Kuala Lumpur, terutamanya pada siang hari, selain kenderaan kecil sedemikian sering digunakan peragut.
Kenapa tak larang kenderaan besar masuk KL, soal Wan Junaidi
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram