Kerajaan kaji naikkan caj masuk kenderaan asing, kata Liow
Liow berkata, kerajaan akan mengkaji sama ada terdapat keperluan untuk menaikkan kadar caj VEP dari semasa ke semasa.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji untuk menaikkan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) dengan nilai sama dikenakan Singapura, kata menteri pengangkutan.
Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkara itu akan dibincang dengan pelbagai pihak.
“Kita akan mengkaji dari semasa ke semasa sama ada terdapat keperluan untuk meningkatkan nilai caj VEP,” katanya selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya dan Op Bersepadu peringkat kebangsaan mulai 21 Januari hingga 5 Februari, sempena Tahun Baru Cina 2017, hari ini.
Menurutnya, Singapura mengenakan caj VEP S$35 (RM109) sehari, tidak termasuk caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC-Reciprocal Road Charge) S$6.40 (RM20) mulai 15 Februari ini kepada kenderaan asing yang memasuki republik itu.
Katanya, VEP yang diperkenalkan Malaysia hanya memerlukan pemilik kenderaan asing membayar yuran pendaftaran RM10 dan boleh diperbaharui selepas 5 tahun.
Malaysia mengenakan caj jalan raya RM20 bagi setiap kenderaan asing yang memasuki Johor sejak 1 November 2016.
Media melaporkan semua kereta yang berdaftar di luar negara perlu membayar RRC sebanyak S$6.40 setiap kali memasuki Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands mulai 15 Februari ini.
Dalam pada itu, Liow berkata, cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melarang motosikal berkuasa rendah atau “kapcai” memasuki ibu kota perlu dikaji terlebih dahulu.
“Cadangan berkenaan harus dikaji dahulu kerana motosikal tidak perlu menjalani pemeriksaan pelepasan karbon dari ekzos…setakat ini Puspakom hanya melakukan pemeriksaan itu kepada kenderaan komersial dan persendirian sahaja,” katanya.
Mengenai Op Bersepadu, beliau berkata, ia akan memberi tumpuan penguatkuasaan undang-undang melalui konsep ronda dan statik di kira-kira 100 kawasan kerap berlaku kemalangan (black spot).
Selain itu, larangan ke atas kenderaan membawa muatan tertentu akan dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari serta 31 Januari dan 1 Februari ini.
Liow berkata, nilai kerugian akibat kemalangan jalan raya mencecah RM8.4 bilion tahun lalu.
“Kadar kemalangan jalan raya turut membimbangkan apabila jumlah kematian meningkat kepada 7,152 orang pada 2016 berbanding 6,706 orang pada 2015,” katanya.
Menurutnya, 62.7% daripada kematian itu melibatkan pengguna motosikal.
Kerajaan rancang larang ‘kapcai’ masuk KL
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram