
Perdana menteri berkata pengurangan tahun itu adalah sebahagian daripada inisiatif menjadikan projek perumahan itu lebih menarik kepada orang ramai.
Beliau turut mengumumkan gabungan pendapatan isi rumah yang layak membeli rumah itu dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM15,000.
“Kami ambil berat impian rakyat sama ada miskin atau kaya untuk membeli dan memiliki rumah pertama.
“Menerusi PR1MA, itu yang hendak kami lakukan. Bukan hanya kami mencipta peluang memiliki rumah mampu milik, kami memindahkan kekayaan dalam bentuk hartanah kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, beliau meraikan pembeli dan penduduk pertama komuniti PR1MA di Sungai Petani 2 di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Pada masa ini terdapat 2,700 rumah PR1MA di Sungai Petani, yang dinamakan PR1MA Residence SP 1 dan 2.
PR1MA ialah badan berkanun yang diperbadankan di bawah Akta PR1MA pada 2012, dan bertanggungjawab membina rumah mampu milik di seluruh negara dengan harga sekurang-kurangnya 20% lebih murah berbanding nilai pasaran.
Sementara itu, Najib berkata memiliki rumah PR1MA akan menjadi lebih mudah menerusi pusat sehenti yang mengendalikan pinjaman, urusan guaman dan mengundi bagi rumah baharu.
“Ini ialah sebahagian langkah kerajaan untuk membantu bakal pembeli memiliki rumah impian mereka.
“Seperti yang diumumkan dalam bajet, kami berusaha keras untuk memastikan pembeli dapat pembiayaan akhir.
“Walaupun kelayakan untuk pembeli meningkat, mereka yang pada awalnya ditolak oleh bank nampaknya akan mendapat pembiayaan bagi rumah idaman mereka,” katanya.
Najib berkata rumah PR1MA amat berbaloi kerana mereka menawarkan rumah berkualiti dengan nilai tinggi, tetapi bayaran yang dikenakan hanya separuh.
“Contohnya rumah di projek PR1MA di Sungai Petani, kosnya mungkin RM270,000 tetapi nilainya ialah RM470,000.
“Ini menunjukkan kerajaan tidak mengambil mudah mengenai kualiti tetapi menawarkan rumah berkualiti tinggi pada harga berpatutan,” katanya.