Mahasiswa tidak mahu dibisukan, gesa Najib transformasi pendidikan
Mereka berharap perdana menteri mencontohi sikap Presiden AS Barack Obama menyokong hak mahasiswa berbeza pendapat ketika berhadapan protes di UM.
KUALA LUMPUR: Ketika meletakkan sasaran tinggi melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50), kerajaan tidak boleh lupa untuk mengubah sistem pendidikan yang menekan mahasiswa, kata aktivis Ashraff Nazrin Noor Azman.
Bekas pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UMS) itu salah seorang daripada 14 aktivis anak muda yang berhimpun malam ini di pintu utama Universiti Malaya, tuan rumah kepada acara tertutup TN50 yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Dalam TN50, transformasi pertama seharusnya institusi pendidikan agar mahasiswa boleh menyuarakan pandangan mereka,” kata Ashraf, yang kini bergerak melalui Gerakan Anak Muda Malaysia.
Beliau dan aktivis lain berhimpun sejak 8 malam tadi kerana mahu menyambut kedatangan Najib dengan plakard seperti “Tangkap MO1”. Turut bersama aktivis DAP Young Syefura Othman dan aktivis pelajar UM, Anis Syafiqah Md Yusof.
“TN50 dikatakan gagasan dengan prinsip ‘bottom-up’, tetapi mengapa acara malam ini dibuat secara tertutup dan bukan semua mahasiswa dijemput?” soal Anis.
“Jika kerajaan benar-benar ingin melaksanakan melaksanakan TN50 secara matang, mereka perlu mendengar suara semua pihak, termasuk yang dianggap tidak selari dengan aspirasi kerajaan,” tambahnya.
Aktivis pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asheeq Ali Sethi Alivi berharap Najib malam ini mengiktiraf suara protes mahasiswa yang berdepan tindakan disiplin daripada universiti masing-masing.
“Mahasiswa mengangkat plakad untuk membantah TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik) tetapi Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menghantar surat sokongan (menyokong hak berbeza pendapat) kerajaan AS (kepada pentadbiran UM),” katanya.
Kedatangan Obama ke UM pada 2014 disambut dengan tunjuk perasaan mahasiswa Malaysia membantah pelaksanaan perjanjian perdagangan antarabangsa itu.
“Kami berharap Najib akan melakukan perkara yang sama,” kata Asheeq.
Najib dalam pembentangan Bajet 2017 tahun lalu mengemukakan gagasan TN50 sebagai proses 3 dekad menetapkan hala tuju negara, dengan digerakkan golongan muda melalui Kementerian Belia dan Sukan.
TN50 disambut kritikan segelintir pihak yang mendakwa usaha menggantikan Wawasan 2020 yang dicetuskan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Anis dan Asheeq digantung 1 semester kerana penglibatan mereka dalam tunjuk perasaan “Tangkap MO1” tahun lalu. Himpunan itu bertujuan mendesak pihak berkuasa supaya mengenal pasti dan menangkapp individu yang digelar “MO1” dalam dokumen siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berhubung penggelapan dana 1Malaysia Development Berhad.