Pemandu lori diserang kerana terlanggar Mercedes Benz
Polis mencari sekumpulan lelaki yang menyerang seorang pemandu lori tanpa belas kasihan
AMPANG: Kemalangan trafik kecil menyebabkan seorang pemandu lori diserang secara ganas oleh sekumpulan lelaki di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Ulu Klang pada Sabtu.
Kejadian dirakam video dan rakaman itu menjadi viral di laman sosial.
Video 2 minit itu memaparkan pemandu lori diserang seorang lelaki berbaju hijau sebelum 4 lagi individu menyertai serangan itu menendang muka dan tubuh mangsa yang terbaring di atas tanah.
Kejadian berlaku ketika pemandu lori itu mengundurkan lorinya tetapi terlanggar kereta Mercedez Benz milik seorang “Datuk”.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata mangsa berusia 25 tahun itu dan rakannya berada di kondominium itu untuk membuat pengiriman ke sebuah pasar raya kecil dan meletakkan lori di kawasan memunggah barang.
Hamzah berkata selepas membuat penghantaran, pemandu lori mengundurkan lori tetapi secara tidak sengaja terlanggar Mercedez Benz itu.
“Berlaku pertengkaran antara pemandu lori dan pemandu kereta yang kemudian melarat menjadi pergaduhan,” kata Hamzah, dan menambah 4 lelaki tidak dikenali datang dan mula menyerang pemandu lori itu.
Pengawal keselamatan kondominium membuat laporan polis.
Hamzah berkata semua suspek disiasat atas tuduhan merusuh.
“Ia hanya salah faham. Kedua-dua pihak mahu selesaikan perkara itu sesama mereka tetapi oleh kerana kejadian berlaku di kawasan awam, kita perlu masuk campur dan siasat kes itu,” kata Hamzah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
https://www.youtube.com/watch?v=Nra7WFDvu2s&feature=youtu.be