Putrajaya rayu tingkat hukuman, Nik Nazmi pertahan denda
Kerjaya politik ketua pemuda PKR itu kini tergantung apabila Putrajaya memfailkan permohonan untuk meningkatkan kadar denda yang dikenakan.
PETALING JAYA: Exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad akan mempertahankan denda RM1,500 yang dikenakan ke atasnya kerana menganjurkan perhimpunan Black 505 pada 2013 tanpa memberi notis kepada polis.
Ketua Pemuda PKR itu tidak akan membuat rayuan balas terhadap permohonon Putrajaya yang mahu meningkatkan kadar denda itu.
“Saya akan pertahan keputusan hakim yang mengenakan kadar denda itu,” kata Nik Nazmi kepada FMT melalui WhatsApp.
Mahkamah Rayuan menetapkan 10 Mac ini untuk mendengar rayuan kerajaan terhadap keputusan yang dikenakan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha pada 8 Disember selepas Nik Nazmi mengaku bersalah.
Kadar denda melebihi RM2,000 akan menyebabkan Nik Nazmi hilang kelayakan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Kadar yang dikenakan Mahkamah Tinggi itu membolehkan Adun Seri Setia untuk terus memegang jawatan awam.
Undang-undang tubuh negeri Selangor menyatakan seorang wakil rakyat hilang kelayakan memegang jawatan awam sekiranya dipenjara melebihi 1 tahun atau denda RM2,000 ke atas.
Pada November 2015, Nik Nazmi sekali lagi didakwa kerana gagal mematuhi Akta Perhimpunan Aman (Akta 736) yang menyerahkan notis mandatori 10 hari kepada polis untuk menganjurkan tunjuk perasaan di Stadium Kelana Jaya 8 Mei 2013.
Beliau pada masa itu mengaku tidak bersalah dan perbicaraan berlangsung dengan 3 saksi pihak pendakwa raya.
Pada 25 April 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan pertuduhan awal terhadap Nik Nazmi atas alasan penganjur tidak boleh dihukum atas kegagalan memaklumkan polis, menyifatkan syarat itu tidak berperlembagaan.
Tetapi Mahkamah Rayuan pada 1 Oktober 2015 dalam kes Setiausaha Eksekutif PKR Johor, R Yuneswaran, memutuskan Seksyen 9(5) Akta 736 itu berperlembagaan.
Ini bermakna penganjur tunjuk perasaan perlu memberikan notis 10 hari kepada polis, kegagalan berbuat demikian bererti penganjur sudah melanggar undang-undang dan boleh didenda sehingga RM10,000.
Sejak keputusan Mahkamah Rayuan itu, pendakwa raya merangka pertuduhan yang sama terhadap Nik Nazmi pada 5 November 2015.
Nik Nazmi kecewa dengan tindakan rayuan Jabatan Peguam Negara itu sedangkan peguamnya sudah menghantar representasi kepada pihak pendakwa raya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Beliau bagaimanapun tidak mahu memberitahu kandungan keterangan tersebut.