Apa khabar orang kampung Kedah?
Di sebuah kampung dalam ladang getah, ada 1 keluarga berkongsi tilam buruk, dan seorang tua yang makan dedak untuk hidup
Dalam beberapa minit lagi langit akan terburai, membawa bersamanya rahmat atau sumpahan untuk para petani, bergantung kepada jumlah hujan yang turun.
Singgahlah ke teratak Mohamad Suhaimi, seorang penoreh getah berusia 31 tahun, sebelum hujan turun menghentam bumbung dan dinding yang dibuat dari tin, bising seperti satu demonstrasi.
“Belanja RM600 untuk baiki rumah atau beli barang makanan dan keperluan untuk isteri dan 2 anak? Saya terpaksa pilih salah satu,” katanya kepada FMT.
Rumah papan dan tin 20×20 kaki yang didiami Mohamad berdiri goyah, seperti mahu roboh tidak lama lagi. Terpacak atas kaki bajang, rumah ini seperti lakaran rumah kampung yang biasa dilukis murid-murid di sekolah.
Rumah Mohamad terletak dalam ladang getah di Kampung Banggol Jeneri, 5km dari pekan Sik.
Beliau berkongsi hidup dengan seorang isteri, dan 2 anak kecil, berusia 5 dan 4 tahun.
Bukan selalu lepasan Tingkatan 5 ini ada RM600 dalam tangan.
Bila cuaca memburuk atau permintaan getah berkurangan, begitu juga pendapatannya. Beliau mencari wang tambahan sebagai pembantu bengkel kereta separuh masa.
Sekurang-kurangnya dapat RM30 atau RM50 setiap kereta. Itupun kalau ada kereta.
Hujan mula turun. Harapkan renyai-renyai tapi lebat yang turun. Rumah Mohamad pula bocor di sana sini.
Isterinya, Siti Zaharah Ahmad, 24, cepat-cepat selubung barang bernilai dengan helaian plastik. Barang bernilai seperti gambar keluarga, buku sekolah anak-anak dan makanan.
Zaharah seorang suri rumah dan penoreh getah separuh masa. Katanya pendapatan isi rumah sudah menyusut hinggakan mereka tidak lagi mampu membayar yuran tadika RM180 anak bongsu mereka, Nurmaizatul Huma.
Nurmaizatul dan abangnya, Mohd Akasha, hidup bebas tanpa kerungsingan.
Akasha tampak gembira selagi boleh, bangkit setiap kali terjatuh dari basikal yang dikayuh keliling laman.
Nurmaizatul tertidur di peha ibu selepas seharian di tadika.
Keluarga ini berkongsi tilam lama bersaiz permaisuri di belakang sesekat 10 kaki panjang, 6 kaki tinggi.
“Maaflah tak ada lampu. Hanya ada kelambu,” kata Mohamad sambil merangkak masuk melalui bukaan kecil ke kamarnya.
Titisan hujan meresap masuk menimpa tilam bila hujan semakin lebat. Mohamad cepat-cepat ambil helaian plastik besar lalu menutup tilam itu.
“Ini perkara biasa,” katanya.
Ketua Amanah Parlimen Sik, Sulaiman Ibrahim, yang membawa FMT berkunjung ke rumah Mohamad, duduk di tangga kayu rumah.
Katanya keadaan Mohamad “bukan kes paling teruk” yang pernah ditanganinya.
“Kalau kamu nak tahu, RM600 di sini seperti RM6,000 di Kuala Lumpur,” kata Sulaiman.
Orang-orang miskin disini terpaksa makan dedak kerana terlalu daif, kata ketua Amanah tempatan itu.
Sulaiman, seorang pekerja kebajikan bertukar ahli politik, berkata jumlah orang miskin di Sik bertambah sejak 5 tahun lalu.
Menggambarkan keadaan itu sebagai “tenat”, beliau berkongsi kisah seorang warga emas di Sik yang hidup dengan memakan “dedak”.
Sulaiman berkata seorang pembantu pasar berusia 75 tahun beli “beras merah” gred rendah, yang selalunya digunakan sebagai makanan ayam.
“Lelaki itu bekerja sebagai pekerja pasar malam, mengangkut barang di pasar tempatan.
“Saya dapat tahu hal ini selepas seorang penjual makanan ayam beritahu saya…orang tua ini beli dedak setiap hari.
“Kami cari orang tua itu, kunjungi rumahnya dan beri bantuan beras putih dan barangan keperluan lain,” kata Sulaiman.
Sulaiman berkata orang tua itu kemudiannya membalas pemberian itu dengan menanam rumput di sekitar rumah Amanah di Sik sebagai tanda penghargaan.
Amanah Sik menganggarkan terdapat kira-kira 300 atau lebih golongan miskin tegar dan 6,000 orang miskin di kawasan ini.
Sulaiman menguruskan pasukan 10 pekerja kebajikan di bawah Skuad Peduli Amanah Sik, menyerahkan bantuan dalam bentuk barangan keperluan.
Beliau bantuan itu hasil kemurahan hati penderma tempatan yang membantu membantu barangan keperluan.
Sulaiman berkata pasukannya sering mengikut perkembangan semasa golongan miskin dan membantu mengikut kemampuan dari semasa ke semasa.
“Bagi kebanyakan golongan miskin ini, RM600 seperti RM6,000. Mereka tahu nilai wang.
“Salah kalau kata orang Sik pemalas. Mereka sangat rajin,” kata Sulaiman.
Beliau menjelaskan kekurangan pelaburan dari luar menyebabkan kekurangan pekerjaan untuk golongan miskin.
Menurutnya, Sik mempunyai tanah luas yang sesuai untuk pertanian. Jika ada pembangunan, adalah pekerjaan untuk golongan miskin.
“Buat masa ini, golongan miskin di Sik buat kerja kampung. Masuk hutan cari rotan, buat kerja pembinaan kecil-kecilan dan menoreh getah,” katanya.
Sulaiman, 36, juga berasal dari keluarga miskin tegar di Sik. Beliau mendapat peluang selepas menyertai pertandingan lawak jenaka peringkat nasional 5 tahun lalu.
Daerah terbesar di negeri Kedah ini seluas 1,635km persegi, 2 kali ganda keluasan Seberang Prai, Pulau Pinang. Bahagian utara Sik berkongsi sempadan Yala, Thailand.
Sik terletak 75km di tenggara ibu negeri Kedah, Alot Setar.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
FMT cuba menghubungi Datuk Mohd Tajudin Abdullah, exco yang bertanggungjawab untuk pembangunan desa dan basmi kemiskinan. Beliau belum menjawab pertanyaan kami ketika laporan ini ditulis.