Pembangkang tiada harapan menang di kerusi Adenan
Penganalisis politik mempersoalkan kewajaran bertanding di Tanjung Datu, memandangkan sentimen yang kuat akan memberi kemenangan mudah kepada calon PBB
PETALING JAYA: Calon pembangkang tidak mempunyai peluang untuk menang pilihan raya kecil Tanjung Datu, kata penganalisis politik.
Mereka mengulas laporan sebelum ini memetik Presiden Parti Reformasi Negeri (Star) sedbagai berkata seruan “tanpa bertanding” oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PPBB) bercanggah dengan prinsip demokrasi.
Bercakap kepada FMT, prof madya Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata parti pembangkang boleh menjangkakan kekalahan teruk sekiranya bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti.
“Tanjung Datu kerusi luar bandar dan kubu kuat PBB. Pembangkang ada peluang kecil untuk menang.”
Jeniri berpendapat parti pembangkang akan kehilangan deposit sekiranya mereka bertanding.
“Pembangkang akan hilang deposit sepertimana yang dialami PKR dalam pilihan raya negeri Mei tahun lepas.”
Dalam pilihan raya itu, Adenan mengekalkan Tanjung Datu dengan 6,360 undi berbanding 468 undi yang diraih calon PKR Jazolkipli Numan, yang hilang deposit. Adenan meraih majoriti undi 5,892 undi.
Tanjung Datu mempunyai 9,899 pengundi di Tanjung Datu. Pengundian akan diadakan pada 18 Februari, manakala penamaan calon pada 4 Februari.
Menurut Jeniri, simpati rakyat pada kematian Adenan menjadi sentimen yang kuat dalam kalangan rakyat Sarawak.
“Ramai mengharapkan anaknya (Azizul Annuar Adenan) meneruskan legasi Adenan. Begitu sentimennya di lapangan.”
Sementara itu, prof madya Universiti Malaya Awang Azwan Awang Pawi bersetuju pembangkang akan tewas sekiranya bertanding di Tanjung Datu.
“Lagipun, Tanjung Datu salah satu kubu kuat PBB dan faktor simpati akan menambahkan undi BN.
“Parti pembangkang yang mahu merebut kerusi ini kemungkinan besar kalah,” katanya kepada FMT.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Adenan disebutkan sebagai faktor kemenangan bergaya BN Sarawak dalam pilihan raya negeri tahun lepas, memenangani 72 daripada 82 kerusi DUN.