Trump pecat 80 duta, tapi duta AS di Malaysia terselamat
Kamala Shirin Lakhdhir terselamat daripada tindakan radikal Donald Trump kerana beliau ialah seorang diplomat, bukannya duta yang menerima pelantikan politik.
Tetapi duta besar AS ke Malaysia yang baru tiba awal bulan ini, selamat. Sebagai diplomat, Kamala Shirin Lakhdhir terselamat daripada tindakan “ganas” Trump.
Jurucakap Kedutaan AS memberitahu FMT: “Semua duta AS berkhidmat kepada presiden. Namun, presiden hanya memanggil semula duta yang dihantar berdasarkan pelantikan politik. Duta Lakhdhir ialah seorang diplomat.”
Media antarabangsa awal hari ini melaporkan Trump, sejurus saja selepas mengangkat sumpah sebagai presiden AS ke-45, memecat semua duta asing tanpa barisan pengganti baharu.
Mereka diarahkan mengosongkan pejabat masing-masing sebelum 20 Januari – hari pelantikan rasminya – tanpa diberikan tempoh penangguhan.
Laporan juga menyatakan seramai 80 duta untuk negara, agensi dan isu seperti duta untuk isu wanita dunia, terjejas dengan pengumuman itu.
Lakhdhir tiba di Malaysia pada 5 Januari, menggantikan Joseph Yun, yang menamatkan perkhidmatan 3 tahunnya pada Oktober.
Diplomat itu dicalonkan untuk jawatan berkenaan oleh bekas presiden AS Barack Obama pada Jun tahun lalu.
Lakhdhir lahir di Brooklyn, New York, dan bapanya berketurunan India manakala ibunya warga AS. Beliau menamatkan pengajian ijazahnya di Kolej Harvard pada 1986.
Menurut laman web Kedutaan AS, Lakhdhir menyertai perkhidmatan luar pada 1991 dan berkhidmat di Kedutaan AS di Riyadh pada 1992-1994, dan kemudian di Jakarta (1994-1996).
Beliau kemudian memegang beberapa jawatan di Washington sebelum dihantar ke Kedutaan AS di Beijing dari 2001-2005.
Lakhdhir juga pengarah Pejabat Maritim Asia Tenggara di Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Jabatan Negara, yang bertanggungjawab dalam hubungan AS dengan Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, dan Timor Leste.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Beliau menerima ijazah sarjana daripada National War College pada 2007.