UniKL tidak iktiraf sijil UEC, kata menteri
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata UEC tidak selaras dengan falsafah pendidikan negara yang memerlukan kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah untuk menyambung pengajian di IPTA.
Beliau berkata ini kerana sijil itu tidak selaras dengan falsafah pendidikan negara yang memerlukan kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Beliau berkata walaupun UniKL sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) namun ia milik penuh Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang sehingga kini masih mematuhi falsafah pendidikan negara.
“Biarpun Kementerian Pengajian Tinggi memberikan kebenaran IPTS mengambil pelajar berdasarkan sijil UEC pada 2004, tetapi itu bukan bermakna Mara mesti ikut, kita ada pilihan yang mana sehingga kini tidak akan membuka pengambilan pelajar berdasarkan sijil tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Jalinan Rakyat (JR) Wanita Umno Bahagian Bera di sini, hari ini.
Semalam Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa berkata UniKL mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat kemasukan untuk belajar di universiti itu.
Ismail Sabri berkata bagaimanapun pelajar bukan Bumiputera dan dari negara luar boleh memohon masuk ke UniKL berdasarkan kelayakan sijil yang diiktiraf kerajaan bagi syarat kemasukan ke IPTA seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk peringkat diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi ijazah atau setaraf dengannya seperti A Level.
“UniKL sebuah IPTS yang ditubuhkan pada 2002 dan dimiliki sepenuhnya oleh Mara. Tawaran program yang mendapat pengiktirafan badan akreditasi dan profesional. Syarat kemasukan tertakluk keperluan badan itu dan sijil UEC tidak menjadi sebahagian syarat kemasukan ke UniKL,” katanya.
Sijil UEC merupakan peperiksaan yang dikendalikan badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram