Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Annuar Musa serah diri sukarela kepada SPRM

 | February 3, 2017

Pengerusi Mara itu juga mahu berjumpa perdana menteri dan tidak mahu dituduh merayu supaya dilindungi dalam Umno.

annuar-musa_sprm_600

SEPANG: Tan Sri Annuar Musa berkata beliau akan menyerah diri secara sukarela kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, agar dapat disiasat secara telus dan tanpa pilih kasih.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang kini digantung tugas susulan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa itu, berkata beliau akan tampil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya seawal 8 pagi.

“Saya secara sukarela mahu siasatan dijalankan oleh SPRM. Saya khuatir siasatan dalaman MARA akan ada tuduhan bahawa ia tidak telus.

“Saya akan beri kerjasama penuh dan tiada apa yang perlu disembunyikan. Saya bekerja dengan penuh tanggungjawab, integriti dan amanah,” katanya pada sidang media sebaik tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dari New Zealand, malam tadi.

Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata beliau akan bertemu perdana menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat bagi membincangkan kedudukannya sebagai ketua penerangan parti.

“Saya tidak mahu dituduh merayu supaya dilindungi. Biar saya jumpa dengan SPRM dan jumpa perdana menteri,” katanya, sambil menghargai keputusan mengekalkan jawatannya dalam parti.

Pada Selasa lepas, mesyuarat khas Ahli Majlis Mara menggantung jawatan Annuar sebagai pengerusi Mara dan pengerusi Pelaburan Mara Berhad (PMB) berkuat kuasa serta-merta.

Penggantungan itu dibuat bagi membolehkan audit dalaman Mara menyiasat beberapa perkara termasuk penajaan PMB dan Universiti Kuala Lumpur untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors.

Susulan itu, SPRM pada hari sama membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap Annuar.

Mengulas lanjut, Annuar berkata siasatan itu melibatkan kepentingan rakyat, kerana rakyat mahu tahu siapa dan bagaimana dana pendidikan pelajar digunakan.

Dalam pada itu, Annuar turut menolak desas-desus arahan penggantungannya itu berpunca daripada tindakan pihak tertentu yang cuba “menikam daripada belakang”.

“Saya menyeru anggota Umno agar tidak menunding jari dan membuat spekulasi sebaliknya fokus pada solidariti bersama pemimpin untuk agenda lagi besar.

“Kita sebagai pemimpin perlu ambil tanggungjawab dan jangan lari. Saya pemimpin rakyat dan saya tidak terlepas daripada undang-undang,” katanya.

Annuar juga menegaskan hubungannya dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga akrab dan tidak timbul kononnya beliau terbabit sama dalam isu tersebut.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments