Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Keluarga lelaki mati dalam lokap kecewa polis masih tak bertindak

 | February 17, 2017

Keluarga Balamurugan menggesa anggota polis terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.

surendran

KLANG: Ahli keluarga lelaki yang mati semasa dalam tahanan polis, S Balamurugan, 44, kecewa dengan pihak polis berikutan sehingga kini tiada tangkapan dan tindakan diambil terhadap pihak terlibat dalam kejadian itu.

Adik mangsa, S Balraj berkata sebagai ahli keluarga, beliau hanya mahu menuntut keadilan sewajarnya dan berharap pegawai polis yang bersalah dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan.

“Sehingga kini masih tiada tangkapan dibuat. Saya cuma mahu pegawai polis terlibat, diambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di kediaman Balamurugan di Solok Bukit Mertajam, Kapar.

Peguam keluarga, N Surendran ketika dihubungi berkata masih tiada tindakan diambil oleh polis dalam kes kematian Balamurugan.

“Setahu saya masih tiada sesiapa disyaki dan ditangkap lagi,” katanya kepada FMT.

Balamurugan ditahan di Batu Belah pada 6 Februari dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara. Keesokannya dibawa untuk direman di Mahkamah Majistret Klang.

Ketika itu, Balamurugan memberitahu keluarga dan peguam, beliau dipukul polis sewaktu di dalam lokap malah juga mengadu sukar bernafas dan berdarah.

Pada 8 Februari, kira-kira jam 6 pagi, 2 anggota polis hadir ke rumah Balamurugan dan memberitahu isterinya, Natthanan Yoochomsok, 38, suaminya meninggal dunia.

Mengulas lanjut, Balraj berkata bedah siasat ke-2 ke atas mayat abangnya itu akan dilakukan esok pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Kita sedang tunggu keputusan bedah siasat di HKL. Saya dimaklumkan bedah siasat akan dilakukan pada Sabtu (esok) pagi dan selepas itu pada sebelah malam mayat abang saya boleh dibawa pulang untuk proses pengebumian,” katanya kepada FMT.

Surendran turut berkata keputusan bedah siasat ke-2 itu dijangka diketahui malam esok.

“Malam esok dijangka pihak HKL akan panggil keluarga mangsa dan peguam untuk memberitahu keputusan hasil siasat,” katanya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini memerintahkan bedah siasat ke-2 dijalankan ke atas mayat Balamurugan.

Dengan perintah mahkamah, mayat Balamurugan dipindahkan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang ke HKL untuk bedah siasat ke-2, seperti permohonan Balraj.

Balraj berkata menerusi afidavitnya, keluarga tidak dapat menerima kesimpulan bedah siasat pertama hospital Klang yang menyatakan abangnya meninggal dunia akibat “masalah jantung”.

Mahkamah perintah bedah siasat ke-2 lelaki mati dalam lokap


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments