Warga Vietnam suspek bunuh Jong-nam bertukar hotel 3 kali
Wanita itu membawa beruang teddy bersaiz besar dan memakai topeng semasa di dalam hotel, kata orang yang ditemubual.
KUALA LUMPUR: Wanita warga Vietnam yang ditahan dalam siasatan terhadap kematian abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong-un bertukar hotel 3 kali sebelum ditangkap pada Rabu, menurut maklumat yang diterima FMT.
Wanita 28 tahun itu tiba di hotel dengan beg saiz sederhana, bagasi kabin dan beruang teddy bersaiz besar.
Beliau menginap selama 2 hari di hotel pertama sebelum berpindah ke hotel kedua dan hotel ketiga.
Semua hotel terletak berhampiran dan terletak di kawasan terpencil di Sepang, 8km dari klia2.
Abang sebapa Jong-un, Kim Jong-nam, 46, berada di lapangan terbang pada Isnin untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila beliau disembur cecair dan mukanya diserkup kain.
Jong-nam meminta bantuan kaunter khidmat lapangan terbang dan mengadu kesakitan dan pening. Beliau dibawa ke klinik dalam lapangan terbang, kemudiannya meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Wanita warga Vietnam itu ditangkap pada Rabu pagi apabila dia kembali ke lapangan terbang.
Kakitangan hotel menggambarkan wanita Vietnam itu berkelakuan baik.
Dia menukar kanta sentuh setiap hari dan menutup wajahnya dengan topeng semasa dalam bangunan. Dia hanya menanggalkan topeng apabila keluar membeli makanan pada waktu malam.
Di hotel kedua, wanita itu meminta gunting daripada pengurusan hotel dan memotong rambutnya ke paras bawah telinga.
Orang yang ditemubual berkata wanita itu tidak lancar berbahasa Inggeris di hotel pertama dan kedua. Bagaimanapun dia berbahasa Inggeris secara lancar di hotel ketiga.
Pada hari dia ditangkap, wanita memberitahu penyambut tetamu dia mahu melanjutkan penginapannya sehingga 23 Februari.
Polis mengenalpasti wanita itu melalui rakaman kamera litar tertutup lapangan terbang.
Sehari kemudian, seorang lagi wanita, juga dikenalpasti melalui rakaman CCTV, ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Polis turut menangkap teman lelakinya untuk siasatan.
Selain mereka bertiga, polis memburu sekurang-kurangnya 4 lagi lelaki dipercayai mengatur serangan terhadap Jong-nam.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Jong-nam mengembara menggunakan pasport yang membawa nama “Kim Chol”. Beliau mempunyai 2 orang isteri, seorang di Beijing dan seorang lagi di Macau.